Special Branch defamation suit pontianak false claims

PUTRAJAYA – Mahkamah Persekutuan di sini hari ini mengekalkan hukuman mati yang dijatuhkan ke atas seorang lelaki warga Singapura kerana membunuh anak tirinya pada 2008.

Panel tiga hakim yang dipengerusikan oleh Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat membuat keputusan itu selepas menolak permohonan Shawal Senin untuk menggantikan hukuman itu dengan penjara seumur hidup di bawah Akta Semakan Hukuman Mati dan Pemenjaraan Sepanjang Hayat (Bidang Kuasa Sementara Mahkamah Persekutuan) 2023.

Turut bersidang Hakim-Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Zabariah Mohd Yusof dan Datuk Abu Bakar Jais.

Shawal, 47, dijatuhi hukuman itu oleh Mahkamah Tinggi pada 18 Nov 2011 kerana membunuh Siwakorn Sukuntha, 7, di sebuah unit di Kondominium Pulai View, Taman Kobena dekat Tampoi, Johor Bahru antara 9  malam 24 Dis hingga 1 tengah hari 27 Dis 2008.

Rayuannya di peringkat Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan telah ditolak masing-masing pada 22 April 2013 serta 29 Jan 2015.

 

Terdahulu, peguam Bustaman Menon Abdul Hamid Menon memohon mahkamah meringankan hukuman Shawal dengan menggantikannya dengan pemenjaraan bagi tempoh antara 33 tahun dan 35 tahun.

Beliau berkata meskipun ia adalah kes tragik membabitkan seorang kanak-kanak lelaki kecil yang telah dipukul selama tiga hari, perbuatan Shawal bukanlah berpunca daripada “hati yang jahat” atau berniat membunuh mangsa.

Bustaman Menon berkata Shawal, yang ketika itu kehilangan pekerjaan dan telah mengambil dadah, bertindak memukul mangsa untuk mendisiplinkannya.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Dhiya Syazwani Izyan Mohd Akhir membantah permohonan itu dan meminta mahkamah mengekalkan hukuman mati.

Beliau berkata tindakan Shawal memukul mangsa berulang kali dengan tangan, penyangkut baju, penyapu bulu ayam dan tukul secara terang-terangan mengabaikan kekudusan nyawa manusia.

Menurut fakta kes, Shawal berang dan telah memukul kanak-kanak itu selepas mangsa tidak menjawab soalannya.

Isterinya cuba menghalang namun Shawal telah memberi amaran bahawa dia juga akan berdepan akibat sama.

Ketika memberi keterangan kepada mahkamah, ibu mangsa berkata dia diberitahu oleh Syawal bahawa lelaki itu telah menggunakan pemetik api untuk membakar alat sulit kanak-kanak itu.

Susulan keputusan itu, Shawal mempunyai peluang terakhir untuk mendapatkan pengampunan dengan mengemukakan permohonan kepada Lembaga Pengampunan Johor. – BERNAMA