Home Ekonomi Pinjaman terkumpul sistem perbankan naik 5% pada Disember

Pinjaman terkumpul sistem perbankan naik 5% pada Disember

KUALA LUMPUR – Pinjaman terkumpul sistem perbankan mencatat pertumbuhan tahunan yang lebih tinggi sebanyak 5.0 peratus pada bulan Dâ€Șisember lalu berbanding 4.6 peratus pada bulan November.

Peningkatan itu didorong oleh pengembangan pinjaman tahunan kepada kebanyakan sektor utama seperti sektor perdagangan borong dan runcit, restoran dan hotel; kewangan, insurans dan perkhidmatan perniagaan; dan sektor pengangkutan, penyimpanan dan komunikasi.

Bagi isi rumah, pinjaman terkumpul sistem perbankan meningkat pada kadar lebih perlahan sebanyak 5.3 peratus pada bulan Disember berbanding 5.4 peratus pada bulan November, kata Bank Negara Malaysia (BNM).

Meskipun paras kelulusan pinjaman bagi perniagaan dan isi rumah terus stabil pada RM29.3 bilion (November: RM29.9 bilion), paras permohonan pinjaman adalah sederhana sedikit pada bulan tersebut.

Wang secara luas atau M3 mencatat pertumbuhan tahunan yang stabil sebanyak 3.0 peratus pada bulan Disember (November: 2.9 peratus).

Bank Pusat itu menambah, peningkatan M3 terus didorong terutamanya oleh pemberian kredit kepada sektor swasta oleh sistem perbankan.

Bagaimanapun, peningkatan ini telah diimbangi sebahagiannya oleh pertumbuhan Akaun Pelaburan Islam yang berterusan, seperti dicerminkan dalam pengaruh lain dan kemerosotan aset asing bersih akibat aliran keluar modal bersih pada bulan itu.

Sistem perbankan terus mengekalkan kedudukan modal yang kukuh dengan Nisbah Modal Ekuiti Biasa Kumpulan 1, Nisbah Modal Kumpulan 1 dan Nisbah Jumlah Modal masing-masing pada 13.1 peratus, 14.0 peratus dan 16.5 peratus.

Pinjaman terjejas bersih kekal pada 1.2 peratus daripada pinjaman bersih manakala nisbah perlindungan kerugian pinjaman adalah pada 90.2 peratus.

Dengan mengambil kira rizab pengawalseliaan bagi pinjaman dan pembiayaan, bank terus mempunyai penampan yang mencukupi untuk menampung kemungkinan kerugian kredit, tambahnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast