Sangeet Kaur Deo.

KUALA LUMPUR – Peguam kepada keluarga Pamela Ling, hari ini mempersoalkan sikap membisu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung kehilangan wanita wanita warga Singapura itu masuk hari ke-36.

Sangeet Kaur Deo mendakwa SPRM telah menunjukkan sikap tidak peduli terhadap kebimbangan yang dibangkitkan masyarakat berkaitan layanan ke atas Pamela sebelum kehilangannya.

Dakwa beliau, sepanjang beberapa bulan sebelum insiden, Pamela telah berulang kali disoal siasat oleh SPRM dan tidak dibenarkan pulang ke Singapura untuk bersama anak-anaknya.

“Keberadaan Pamela di Malaysia bukan atas kehendaknya, tetapi kerana arahan SPRM.

“Gerak-gerinya dihadkan, dia tidak dibenarkan keluar negara kini dia hilang tanpa sebarang penjelasan. SPRM secara langsung telah meletakkan dirinya di bawah kawalan mereka,” katanya.

Beliau turut mengkritik Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam baki yang didakwa gagal memberi penjelasan atau menunjukkan rasa tanggungjawab terhadap apa yang berlaku.

“Ini bukan soal budi bicara SPRM terhadap rakyat sebaliknya ini adalah kewajipan mereka. SPRM dibiayai oleh wang rakyat. Ia adalah institusi awam yang tidak boleh dikecualikan daripada penelitian awam,” ujarnya.

Sangeet menyifatkan kenyataan terdahulu SPRM yang menyerahkan siasatan kes ini kepada pihak polis sebagai satu bentuk mengelak tanggungjawab dan pengasingan daripada akauntabiliti yang kian ketara dalam institusi tersebut.

“Siapa sebenarnya SPRM bertanggungjawab kepada? Perdana Menteri? Eksekutif? Atau rakyat? Ketika ini, ia kelihatan seolah-olah SPRM tidak menjawab kepada sesiapa pun walaupun dalam situasi yang berpotensi menjadi skandal negara,” katanya.

Beliau mengingatkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) sewaktu mentadbir antara tahun 2018 hingga 2020 pernah berjanji untuk menstruktur semula SPRM agar ia bertanggungjawab terus kepada Parlimen.

Namun sehingga kini, katanya, suruhanjaya itu masih diletakkan di bawah Jabatan Perdana Menteri tanpa pengawasan Parlimen yang berkesan.

“Kelewatan atau kegagalan sepenuhnya untuk meletakkan SPRM di bawah pengawasan Parlimen telah membolehkan badan ini terus beroperasi tanpa ketelusan. Dalam kes Pamela, soalan-soalan serius telah dibangkitkan, tetapi tiada siapa tampil menjawab,” tambahnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast