Zailan (baju petak) dibawa keluar dari Mahkamah Sesyen Shah Alam selepas mengaku tidak bersalah menerima suapan

SHAH ALAM – Pegawai Khas kepada Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Shah Alam di sini, hari ini.

Zailan Jauhari membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Asmadi Hussin atas tuduhan menerima suapan berjumlah RM80,000 berhubung tender kerja pembersihan sekolah.

Beliau didakwa melakukan kesalahan itu dua tahun lalu.

Mengikut kertas pertuduhan, Zailan, 47, didakwa menerima suapan sebanyak RM20,000 dan sekeping cek Bank Islam bernilai RM60,000 dari seorang kontraktor.

Suapan itu sebagai upah melakukan transaksi bagi membantu Syarikat KCM Maju Resources dan Syarikat Sri Kajang Jaya untuk mendapatkan tender kerja pembersihan sekolah Zon 2 dan Zon 4 dalam daerah Kuala Selangor daripada Kementerian Pendidikan.

Kesalahan itu didakwa dilakukannya di sebuah restoran di Jalan Bendahara 1/2, Taman Bendahara, Kuala Selangor antara jam 7.30 dan 8 malam pada 8 Januari 2014.

Zailan didakwa mengikut Seksyen 16(1)(A) SPRM 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun atau denda tidak kurang lima kali ganda dari nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana yang lebih tinggi.

Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Mohd Heikal Ismail mewakili pihak pendakwaan. – MalaysiaGazette