Home Ekonomi Ancam sekatan Iran, harga minyak melonjak

Ancam sekatan Iran, harga minyak melonjak

Ujian peluru berpandu Iran telah mencetuskan ketegangan antara Tehran dan negara-negara Barat. Foto Agensi

SINGAPURA – Harga minyak meningkat selepas Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump mengumumkan untuk mengenakan sekatan baru ke atas pelbagai entiti Iran.

Tindakan Trump itu dijangka dilaksanakan terhadap lebih dua dozen entiti Iran selepas Tehran menjalankan ujian peluru berpandu balastik.

Harga minyak mentah Brent naik sebanyak 0.8 peratus kepada AS$57.01 setong pada 0750 GMT selepas merosot kepada AS$56.56 pada sesi sebelumnya.

Brent diunjur meningkat 2.6 peratus pada minggu ini.

Niaga hadapan West Texas Intermediate pula melonjak sebanyak 0.9 peratus kepada AS$54.02 setong.

Kebimbangan terhadap bekalan minyak juga meningkat apabila Menteri Tenaga Rusia, Alexander Nova memaklumkan pengeluaran minyak dunia telah dikurangkan sebanyak 1.4 juta tong sehari pada bulan lalu.

Pengurangan itu adalah hasil perjanjian pengurangan minyak antara OPEC dan pengeluar-pengeluar lain bagi mengawal lebihan bekalan emas hitam itu.

Novak juga berkata, syarikat-syarikat Rusia akan mengurangkan pengeluaran minyak lebih cepat daripada yang dipersetujui OPEC dan dijangka pasaran kembali seimbang pada pertengahan tahun ini.

Harga minyak kembali stabil kira-kira 15 peratus lebih tinggi berbanding sebelum perjanjian itu dicapai, kata National Australia Bank dalam nota penyelidikannya hari ini.

National Australia Bank menjangkakan purata harga minyak dalam lingkungan pertengahan dan atas AS$50 setong pada suku pertama dan suku kedua sebelum mencecah serendah AS$60 setong pada akhir tahun ini dan akan stabil sekitar harga itu pada tahun 2018. – MalaysiaGazette