Anggota keluarga terpaksa dipapah ke lokasi penemuan jenazah Sasabella Zulhairi, 12, dan Mahathir Mohamad, 7, serta rakan mereka, Nureen Ain Juwita Mohd Sharif, 10 yang lemas di kolam bekas lombong bauksit di Taman Sungai Karang Jaya hari ini. --fotoBERNAMA

KUANTAN – Gara-gara sehelai seluar tiga kanak-kanak termasuk dua beradik lemas dalam sebuah kolam bekas lombong bauksit di Taman Sungai Karang Jaya di sini hari ini.

Mangsa yang lemas ialah Sasabella Zuhairi, 12, adiknya, Mahathir Moha­mad, 7, dan rakannya, Nureen Ain Juwita Mohd. Sharif, 10.

Adik kepada Sasabella dan Mahathir Mohamad, Muhamad Aiman Hakimi yang turut berada di tempat kejadian memberitahu
kakanya, Sasabella terjun ke dalam kolam itu untuk mengambil seluar yang terjatuh ke dalam kolam itu.

Melihat Sasabella yang tidak tahu berenang tergapai-gapai, Mahathir dan Nureen Ain turut terjun untuk menyelamatkannya yang akhirnya ketiga-tiganya lemas.

Menurut Muhamad Aiman, kejadian itu pasti tidak akan berlaku jika Sasabella tidak terjun untuk mengambil seluarnya yang terlucut ke dalam kolam takungan tersebut.

Muhammad Aiman Hakimi ditemui pemberita di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini malam ini.

Sebelum kejadian lemas pukul 5.30 petang itu, Muhammad Aiman Hakimi, tiga mangsa yang maut dan seorang lagi rakan bermain di kawasan kolam takungan ber­kenaan.

Ketua Polis Daerah Kuantan ACP Abdul Aziz Salleh berkata sebelum kejadian kira-kira 5 petang itu ketiga-tiga mangsa bersama empat lagi rakan termasuk seorang lagi adik lelaki kepada Salsabila, Mohamad Aiman Hakimi, 10, pergi bermain di kawasan bukit bekas perlombongan bauksit berkenaan.

“Ketika bermain Aiman ini ternampak getah hitam di tepi kolam bauksit tersebut dan hendak pergi ambil getah itu, namun dia telah terjerlus masuk ke dalam kolam berkenaan.

“Waktu itu Aiman sendiri lemas, namun dapat menyelamatkan diri dan keluar dari dalam kolam itu.

“Ketika itulah seluarnya tertanggal menyebabkan kakaknya cuba untuk mengambilnya, ” katanya ketika ditemui pemberita di Unit Forensik Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini malam ini.

Pemangku Raja Pahang Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah dan Tengku Puan Pahang Tunku Azizah Aminah Iskandariah turut berangkat ke unit forensik hospital berkenaan bagi menziarahi keluarga kedua mangsa yang terlibat dan menyampaikan sumbangan peribadi baginda.

Abdul Aziz berkata sewaktu Salsabila hendak mengambil seluar, kanak-kanak malang itu telah terjerlus ke dalam kolam berkenaan dan lemas sebelum rakannya Nureen Ain dan adiknya Mahathir cuba menyelamatkannya.

Bagaimanapun mereka berdua turut lemas sebelum Mohamad Aiman dan tiga lagi rakannya pergi mendapatkan pertolongan daripada penduduk setempat.

Sebaik selesai bedah siasat, jenazah kedua beradik telah dibawa ke kampung halaman mereka di Taiping, Perak, manakala jenazah Nureen Ain akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Sungai Karang Darat, di sini.
— BERNAMA