Home Ekonomi Bursa dijangka kukuh minggu depan

Bursa dijangka kukuh minggu depan

KUALA LUMPUR – Bursa Malaysia diunjur kukuh minggu depan dan pedagang kembali ke pasaran akan membolehkan penanda aras FTSE Bursa Malaysia (FBM KLCI) menguji paras psikologi 1,700.

Naib Presiden/Ketua Penyelidikan Runcit Affin Investment Bank, Dr Nazri Khan Adam Khan berkata, jangkaan pemulihan sederhana dalam sentimen risiko global akan menyokong pasaran bagi sentimen minggu depan.

“Rizab Persekutuan AS tidak dijangka menaikkan kadar faedah dalam masa terdekat. Dolar Amerika akan kembali ke paras sebelum kenaikan ketara menjadikan ringgit mengukuh dan komoditi pulih.

“Bursa tempatan juga akan mendapat sokongan daripada Wall Street yang cergas,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata, dasar fiskal Presiden AS Donald Trump, yang dijangka dibentangkan minggu depan, juga dapat membantu mengurangkan ketidaktentuan kewangan global dan seterusnya meningkatkan minat pelabur.

Menurut Kenanga Investment Bank Research, trend jangka pendek hingga sederhana FBM KLCI diunjur kekal sederhana dengan indeks utama meningkat.

Bagi minggu yang baru berakhir, sesi dagangan singkat setelah pasaran ditutup pada Isnin sempena Tahun Baharu Cina dan Rabu berikutan cuti Hari Wilayah Persekutuan.

FBM KLCI berakhir rendah pada hari pertama dagangan Tahun Ayam tetapi kembali mendapat momentum pada Khamis dan Jumaat.

Indeks FBM Emas meningkat 9.9 mata kepada 11,838.56, FBM Ace melonjak 163.42 mata kepada 5,103.19 dan FBM 70 menambah 29.94 mata kepada 13,614.74.

Indeks FBMT 100 susut 1.05 mata kepada 11,531.33.

Indeks FBM Emas Syariah menokok 33.86 mata kepada 12,354.44. Mengikut sektor, Indeks Perladangan melonjak 139.75 mata kepada 8,092.65, Indeks Kewangan susut 35.14 mata kepada 14,848.64 dan Indeks Perusahaan berkurangan 48.42 mata kepada 3,205.60.

Jumlah dagangan mingguan merosot kepada 4.94 bilion unit bernilai RM5.96 bilion daripada 6.85 bilion unit bernilai RM8.60 bilion pada Jumaat lepas.

Di pasaran utama pula, jumlah dagangan berkurangan kepada 3.57 bilion saham bernilai RM5.72 bilion daripada 4.71 bilion saham bernilai RM18.29 bilion minggu lepas.

Jumlah dagangan waran berkurangan kepada 481.34 juta unit bernilai RM58.82 juta berbanding 904.75 juta unit bernilai RM109.29 juta sebelumnya.

Pasaran ACE susut kepada 868.06 juta saham bernilai RM175.83 juta daripada 1.20 bilion saham bernilai RM200.59 juta pada Jumaat lepas. – MalaysiaGazette