Tun Dr. Mahathir Mohamad. Foto SADIQ SANI, 12 JUN 20

PUTRAJAYA – Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengingatkan semua pihak bahawa penubuhan Persekutuan Malaysia pada 1963 antara lain adalah untuk membantu negeri-negeri miskin di Semenanjung.

Dr Mahathir berkata, bagaimanapun ada negeri yang sudah memiliki kekayaan namun kini seolah-olah enggan berkongsi hasil negeri dengan Persekutuan.

“Kita buat Persekutuan supaya kita boleh bantu negeri yang miskin oleh negeri yang kaya.

“Pada mulanya semua miskin, Johor pun miskin, bila kita merdeka, Kerajaan Persekutuan perlu bantu Johor dan semua negeri lain.

“Sekarang Johor menjadi kaya, dia tak nak bagi dia punya duit, itu tak boleh lah. Sarawak pun bukan dia sampai tak bagi duit, dia cuma minta sikit jer, kita bagi,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Sebelum ini, media melaporkan Pemangku Sultan Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim menitahkan kerajaan melakukan reformasike pada sistem Persekutuan dan Johor perlu dilayan sebagai rakan kongsi.

Tunku Ismail juga mencadangkan parti politik di Johor bersatu dan dikenali sebagai ‘Gabungan Bangsa Johor’ bagi menjamin kepentingan negeri seperti mana yang dilakukan Sarawak untuk berunding lebih berkesan dengan Persekutuan.

Dr Mahathir berkata, Johor tidak mungkin menjadi sebuah negeri yang merdeka jika enggan menyertai Persekutuan pada 1963.

“Johor adalah negeri pertama yang menghantar dan menandatangani Perjanjian MacMichael kepada British.

“Tanpa negeri lain, Johor akan jadi koloni Britain, bukan jadi negeri merdeka, dia koloni Britain,” katanya. – MalaysiaGazette