Home Ekonomi Ringgit diunjur kembali kukuh

Ringgit diunjur kembali kukuh

KUALA LUMPUR – Ringgit diramal terus mengukuh berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) minggu depan kepada antara 4.4000 dan 4.3500, berikutan kelemahan mata wang asing itu di pasaran global, kata penganalisis.

Naib Presiden dan Ketua Penyelidikan Runcit Affin Hwang Investment Bank, Datuk Dr Nazri Khan Adam Khan berkata, dolar AS telah merosot daripada paras tertinggi dalam tempoh tujuh minggu.

“Penyusutan dolar disumbang oleh persepsi negatif yang data ekonomi AS tidak cukup teguh untuk mewajarkan kenaikan dalam kadar faedah AS.

“Kenyataan Rizab Persekutuan selepas mesyuarat pertamanya tahun ini juga telah mencetuskan keraguan mengenai pelarasan kadar untuk mesyuarat seterusnya pada Mac,” katanya kepada Bernama.

Menurut Nazri, bank pusat lain seperti di Jepun dan Eropah juga dilihat akomodatif dan tidak menaikkan kadar faedah mereka.

Di pasaran tempatan, pemulihan harga minyak mentah dan komoditi lain juga memberi sokongan dalam mengukuhkan ringgit kerana ia sering dilihat sebagai mata wang komoditi, katanya.

Sementara itu, Hong Leong Research berkata, ringgit telah mengukuh 0.16 peratus minggu ke minggu kepada 4.4230 berbanding dolar AS, tetapi merosot berbanding sembilan negara Kumpulan 10 berikutan ketiadaan minat belian ketika pasaran Malaysia ditutup sempena cuti Tahun Baharu Cina dan Hari Wilayah Persekutuan.

Untuk minggu baru berakhir, ringgit bergerak antara 4.4220 dan 4.4320 berbanding dolar AS. Pada asas Jumaat ke Jumaat, ringgit diniagakan lebih tinggi kepada 4.4260/4300 berbanding dolar daripada 4.4300/4330 Jumaat lalu.

Mata wang tempatan itu ditutup lebih rendah berbanding mata wang utama lain, kecuali pound Britain.

Ringgit susut berbanding dolar Singapura kepada 3.1292/1330 daripada 3.1046/1078, turun berbanding yen kepada 3.9123/9165 daripada 3.8522/8565 dan jatuh berbanding euro kepada 4.7535/7600 daripada 4.7370/7411.

Ia naik berbanding pound Britain kepada 5.5250/5304 daripada 5.5588/5643. – MalaysiaGazette