KUALA LUMPUR – Harapan Johor Darul Ta’ zim (JDT) untuk melangkah ke pusingan akhir Liga Juara-juara Asia (ACL) musnah setelah tumpas di tangan Gamba Osaka 0-3 perlawanan akhir kelayakan ACL di Osaka, Jepun malam ini.

Pasukan tuan rumah membuka jaringan menerusi Ademilson Braga Bispo Junior pada minit ke-26.

Stadium Suita City Football terus bergema dengan sorakan apabila gawang JDT bolos tiga minit selepas itu menerusi penyerang Shun Nagasawa.

Pasukan yang berada di ranking nombor lima Asia itu ternyata bukan tandingan JDT yang cuba bangkit daripada ketinggalan 0-2.

Malah Gamba terus menutup pintu pasukan pelawat untuk mara ke pusingan seterusnya dengan jaringan ketiga melalui Genta Miura pada minit ke ke-69 .

Dengan kekalahan itu, JDT akan beraksi pada saingan Piala AFC bersama Felda United.

JDT diundi bersama kelab Myanmar, Magwe FC; kelab Filipina, Global FC/Loyola Meralco Sparks FC dan pemenang perlawanan ‘kalah mati’ di antara kelab dari Laos dan Kemboja dalam Kumpulan F.

Gamba Osaka yang mara ke pusingan akhir ACL diletakkan dalam Kumpulan H bersama-sama Adelaide United,Jiangsu FC dan Jeju United.

Sementara itu, Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim berkata, kekalahan JDT adalah kerana kesilapan-kesilapan individu namun mereka telah berhempas pulas melakukan yang terbaik dalam perlawanan itu.

Selain itu, ketiadaan penyerang, Jeronimo Barrales yang digantung perlawanan turut memberi kesan kepada JDT malam ini.

“Gamba Osaka adalah pasukan nombor lima di Asia dan pada saya, melihat JDT bermain dengan pasukan yang lebih baik, hebat, ianya satu kegembiraan dan penghormatan serta saya berbangga melihat JDT yang meskipun gagal dalam perjuangan memenangi perlawanan penentuan kelayakan ACL, namun telah berada di pusingan ini selama tiga tahun berturut-turut,” katanya pada laman web Johor Southern Tigers. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast