Abdel Fattah El-Sisi

MESIR – Kerajaan Mesir mencadangkan supaya satu akta baharu yang menghalang seseorang lelaki Islam menceraikan isterinya secara lisan diluluskan segera.

Presidennya, Abdel Fattah el- Sisi yang membawa cadangan itu kerana mahu mengelak wanita didiskriminasi suami mereka sebaliknya mahu kaum Hawa dilayan secara saksama di sisi undang-undang.

Melalui penguatkuasaan undang-undang baharu itu, katanya, mana-mana lelaki di Mesir yang mahu menceraikan isterinya wajib melalui proses perundangan yang betul di mahkamah.

Buat masa sekarang mana-mana lelaki Mesir beragama Islam boleh menceraikan isterinya secara lisan tanpa sebarang syarat perundangan atau perbicaraan mahkamah.

Wanita bagaimanapun hanya boleh meminta penceraian daripada suaminya menerusi perundangan dan dengan budi bicara suaminya.

Menurut Abdel Fattah, perlembagaan Mesir menjamin kesamarataan gender dan pihaknya mencadangkan undang-undang baharu untuk menamatkan diskriminasi gender dalam penceraian suami isteri.

Bagaimanapun, pihak berkuasa tertinggi Islam di negara itu yang perlu dirunding dalam pindaan perlembagaan, menolak cadangan tersebut.

Ulama Kanan Masjid al-Azhar, Sheikh Ahmed Mohamed el-Tayeb berkata, undang-undang penceraian secara lisan yang sedia ada tidak boleh dipertikaikan semenjak abad ke-7 lagi.

Imam masjid al-Azhar di Mesir, Sheikh Ahmed Mohamed
Imam masjid al-Azhar di Mesir, Sheikh Ahmed Mohamed

Menurutnya, cubaan membawa undang-undang baharu hanya satu proses yang tidak pernah berlaku dan cuba membawa pemerintahan berkuku besi.

Sheikh Ahmed mendakwa undang-undang semasa adalah benar dan sesuai.

Bagaimanapun, menurut Abdel Fattah, cadangan itu dibawa bagi membolehkan satu proses perundangan formal dan seragam supaya dapat membantu mengurangkan kadar penceraian yang semakin meningkat di negara itu.

Beliau mendakwa 40 peratus perkahwinan di Mesir hanya bertahan selama lima tahun dan berakhir dengan penceraian. – MalaysiaGazette