GEORGETOWN – Ahli Parlimen Bukit Bendera, Zairil Khir Johari diumumkan sebagai Presiden Persatuan Bola Sepak Pulau Pinang (FAP) yang baharu mengantikan Datuk Nazir Ariff Munshi Ariff yang meletakkan jawatan Januari lalu.
Pelantikan Zairil yang sebelum ini merupakan pengurus pasukan skuad Harimau Kumbang itu diumumkan dalam Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) FAP malam tadi.
Bercakap kepada pemberita kemudiannya, beliau meletakkan harapan untuk membangunkan bola sepak Pulau Pinang secara keseluruhannya.
Mengenai perasaan tidak puas hati sesetengah penyokong terhadap pelantikannya, katanya beliau tidak boleh memuaskan hati semua orang.
Kira-kira 200 penyokong tegar Pulau Pinang mengadakan demonstrasi di luar perkarangan Penang Institut, tempat EGM itu berlangsung bagi mendesak Zairil agar meletak jawatan berikutan tiga kekalahan Pulau Pinang berturut-turut dalam Liga Super.
Wakil penyokong Zamzuri Ibrahim berkata, pihaknya mendesak Zairil meletak jawatan kerana tidak berpuas hati dengan prestasi Pulau Pinang di awal musim ini.
“Kami juga kecewa dengan tindakan presiden baharu FAP yang mengelak untuk bertemu penyokong bagi mendapatkan penjelasan berhubung prestasi buruk skuad Harimau Kumbang,” katanya lagi.
Beliau mendakwa Pulau Pinang menunjukkan prestasi kurang memberansangkan pada awal musim ini ekoran wujud suasana tidak harmoni antara pemain.
“Tidak seperti musim-musim lepas, pasukan ini berdepan kekalahan tiga kali berturut-turut. Sepertimana diketahui Pulau Pinang adalah satu pasukan yang hebat, kami tidak mahu pasukan ini kembali kepada Liga Perdana disebabkan campur tangan politik. Oleh itu kami minta Zairil undur diri,” katanya.
Pulau Pinang telah menentang Selangor, Perak dan T-Team, namun gagal menjaringkan sebarang gol.
Pasukan di bawah pimpinan jurulatih Ashley Westwood itu turut dilihat gagal mencari rentak permainan yang mantap dalam semua perlawanan setakat ini.- MalaysiaGazette