Fazura. foto NOOR ASREKUZAIREY SALIM, 02 FEBRUARI 2017

KUALA LUMPUR – Pelakon Fazura mahu bersikap positif dengan kritikan terhadap kualiti vokalnya sebagai semangat untuk pergi lebih jauh dalam bidang nyanyian.

Wanita berusia 33 tahun itu berkata, dia sepatutnya berterima kasih kepada pihak yang mengkritiknya selama ini.

“Apabila sampai tahap ini, saya sepatutnya berterima kasih kepada pengkritik yang berniat untuk memalukan, menjatuhkan dan memfitnah.

“Ini kerana tanpa kritikan mereka saya tidak ada semangat untuk memperbaiki diri sendiri dan teruskan bidang ini.

“Mereka secara tidak langsung sebenarnya menolak saya lebih ke depan dan mendoakan yang terbaik,” katanya.

Fazura atau nama penuhnya Nur Fazura Sharifuddin, 33, ditemui pada majlis menandatangani kontrak bersama Universal Music Malaysia di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Pada Oktober lalu, Fazura pernah menjadi sasaran kecaman pengguna media sosial apabila dikatakan gagal menyanyi dengan baik sewaktu membuat persembahan secara langsung pada Kejohanan Perlumbaan Grand Prix Malaysia di Litar Sepang.

Mengulas lanjut isu itu, Fazura melahirkan rasa hairan dengan sikap pengkritik yang gemar mencari kesalahan dirinya apabila timbulnya sesuatu isu.

Malahan, jelas Fazura, dia sendiri tidak faham mengapa ia perlu diperbesarkan perkara yang tidak mendatangkan faedah.

“Kalau hendak katakan saya bersikap positif setiap masa tidak juga sebenarnya, sebab saya manusia.

“Dan yang paling tidak difahami adalah mengapa sesetengah orang gemar viralkan bahagian yang tidak okey. Tapi saya tidak salahkan sesiapa,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast