Thursday, June 12, 2025
Home Seni Hidup KRU cetus fenomena, konsert tambah malam keempat

KRU cetus fenomena, konsert tambah malam keempat

Konsert GenKRU di Axiata Arena, Bukit Jalil hujung minggu lalu bukti KRU merupakan kumpulan legenda. Foto kredit Bangsawan Pictures.
KUALA LUMPUR – Penganjur Konsert GenKRU iaitu Icon Entertainment mengumumkan penambahan satu lagi malam persembahan yang dijadualkan berlangsung pada 11 Mei ini susulan sambutan luar biasa peminat terhadap tiga malam sebelum ini.
Icon Entertainment berkata, keputusan itu diambil selepas tiket bagi tiga malam pertama iaitu pada 3, 4 dan 10 Mei telah habis dijual dalam tempoh tidak sampai satu jam selepas dibuka kepada umum.
“Icon Entertainment ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua peminat KRU kerana membeli tiket konsert GenKRU hari pertama dan kedua yang habis dijual dalam tempoh kurang satu jam!

“Tiket hari ketiga pada 10 Mei juga secara rasmi sudah ‘sold out’ (habis dijual). Kami amat terharu dengan sambutan ini. Ia adalah tanda kasih sayang dan penghargaan peminat buat ikon trio negara kita,” kata kenyataan itu.

Penuh sesak penonton dalam Konsert GenKRU di Axiata Arena, Bukit Jalil hujung minggu lalu. Foto kredit Bangsawan Pictures.

Datuk Norman Abdul Halim memberitahu, pemilihan tarikh 11 Mei dilihat bertepatan dengan cuti umum Hari Wesak pada 12 Mei ini sekali gus memberi peluang kepada lebih ramai peminat untuk menghadiri konsert itu.

“Kami juga mendapat banyak pemintaan daripada peminat yang mahu menonton lagi (repeat) kerana tidak puas dengan momen tempoh hari,” katanya.
Selain Norman, KRU dianggotai Datuk Yusry dan Edry.
Tiket bagi Konsert GenKRU hari keempat akan mula dijual hari ini menerusi laman web https://www.ticket2u.com.my/kruDay4. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast