Tangkap layar video yang tular memaparkan pihak polis menghentikan sebuah kereta sebelum dipandu melawan arus di Jalan Jim Quee, Johor Bahru, kelmarin.

JOHOR BAHRU – Seorang pekerja restoran tertidur ketika memandu sebelum kereta Audi dipandunya masuk laluan bertentangan dan bergerak melawan arus di Jalan Jim Quee, di sini malam kelmarin.

Video berdurasi 1 minit 28 saat itu tular memaparkan kereta berkenaan ditahan polis tetapi dilihat dipandu perlahan sebelum masuk ke laluan bertentangan.

Timbalan Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Superintendan Ng Swie Chait berkata, pihaknya mengesan video kejadian yang tular dalam Facebook pukul 10.06 malam pada hari kejadian.

Katanya, kejadian pukul 6.50 pagi itu berlaku selepas lelaki berkenaan yang bekerja sebagai pelayan restoran di R&F Mall di sini dalam perjalanan pulang ke kediamannya di Taman Mount Austin.

“Siasatan awal mendapati pemandu berkenaan dipercayai tertidur ketika berada dalam kenderaan di persimpangan lampu isyarat Tanjung Puteri.

“Seorang anggota polis yang berada berhampiran kemudian menghampiri kenderaan berkenaan dan mengetuk tingkap bagi mendapatkan perhatian pemandu,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, tindakan itu menyebabkan pemandu terbabit tersedar dan berada dalam keadaan cemas sebelum mula memandu secara perlahan-lahan ke hadapan.

Kenderaan terbabit katanya, kemudian didapati bergerak melawan arus ke arah Jalan Jim Quee.

Ng berkata, hasil ujian saringan alkohol melalui pernafasan terhadap pemandu itu mendapati keputusannya adalah negatif.

Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 79(2) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana mengabaikan isyarat lalu lintas.

Pihaknya menasihatkan semua pengguna jalan raya supaya sentiasa memastikan keadaan diri berada dalam keadaan selamat dan cergas sebelum memandu.

“Pengguna jalan raya juga dinasihatkan supaya mematuhi peraturan dan undang-undang jalan raya bagi mengelakkan kejadian yang boleh membahayakan diri sendiri serta pengguna jalan raya lain,” katanya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here