KUALA LUMPUR – Bekas Naib Presiden MCA, Datuk Seri Ti Lian Ker menyifatkan tindakan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke menawarkan diri untuk meletakkan jawatan sebagai langkah untuk meredakan tekanan politik terhadap DAP.
Lantaran itu beliau mempersoalkan sama ada Anthony Loke sedang dijadikan “kambing hitam” selepas menawarkan untuk melepaskan jawatannya.
Menurut beliau, sekiranya Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming meletakkan jawatan seperti yang pernah dijanjikannya, tekanan politik berpotensi merebak kepada Anthony Loke dan menteri DAP yang lain, akibatnya parti itu akan kehilangan kuasa lebih awal dan secara kekal.
“Jadi strateginya ialah Anthony Loke meletakkan jawatan dan DAP masih mengekalkan kedudukan dalam kerajaan serta mendapat manfaat daripada terus berada dalam kuasa.
“Anthony Loke tetap mengekalkan kuasanya secara proksi memandangkan beliau sememangnya ketua kepada semua menteri kabinet DAP,” katanya hari ini.
Jelasnya, langkah itu adalah terbaik untuk mengawal kerosakan akibat tindakan melulu Kor Ming yang berjanji untuk meletak jawatan sekiranya Barisan Nasional (BN) menang besar di Johor dan Datuk Seri Najib Razak mendapat pengampunan.
“Mengorbankan “seekor kambing” membolehkan DAP membendung impak negatif, mengekalkan kedudukan dalam kerajaan, malah meraih simpati serta menonjolkan imej berprinsip tinggi.
“Pendek kata: korbankan ‘seekor kambing’ demi menyelamatkan ‘kawanan’ DAP,” ujar beliau. – MalaysiaGazette
















