SHAH ALAM: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor hari ini menyita empat lot tanah, sebuah kenderaan mewah serta barangan kemas dan jam mewah milik pengarah agensi kerajaan yang ditahan semalam.

Menurut sumber, badan pencegahan rasuah itu juga membekukan akaun bank dan pelaburan milik pengarah serta anak-anaknya dengan jumlah simpanan keseluruhan RM850,000.

Pada masa sama, SPRM Selangor mengenal pasti enam buah rumah bernilai RM3.3 juta yang terletak di Selangor, Putrajaya dan Negeri Sembilan untuk disita, katanya.

Mengenai lot tanah yang disita, sumber itu berkata tiga lot terletak di Kedah dan satu lagi di Selangor dengan nilainya masih dalam proses anggaran.

“Selain sebuah Toyota Alphard, SPRM Selangor turut merampas dua utas jam tangan berjenama Orient dan Chopard, seutas gelang emas, seutas rantai emas dan sebentuk cincin emas dalam operasi yang dijalankan di kediaman dan pejabat suspek serta beberapa lokasi lain hari ini,” katanya.

Sementara itu, Pengarah SPRM Selangor Datuk Wan Ramli Wan Abdullah ketika dihubungi mengesahkan maklumat tersebut.

Beliau juga berkata pihaknya sedang menyiasat dengan lebih terperinci bagi mengenal pasti harta-harta lain milik suspek yang mungkin diperoleh melalui rasuah.

Pengarah berumur 54 tahun itu yang ditahan di sebuah hotel di Bagan Lalang, Sepang, Selangor tengah hari semalam, direman selama tujuh hari bermula hari ini bagi membantu siasatan.

Dia disiasat kerana disyaki menyalahgunakan jawatan dan kedudukannya bagi menganugerahkan projek membekalkan peralatan untuk agensinya kepada beberapa kontraktor berkepentingan.

 Isterinya yang berusia 36 tahun yang turut ditahan semalam bagaimanapun dibebaskan hari ini selepas keterangannya direkodkan.

Selain itu, SPRM turut menahan dua pemilik syarikat yang dipercayai telah menerima kontrak daripada pengarah tersebut, masing-masing di Alor Setar dan Shah Alam, dan kedua-dua mereka juga direman tujuh hari bagi membantu siasatan.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast