Home Ekonomi Pasaran getah lemah minggu ini

Pasaran getah lemah minggu ini

KUALA LUMPUR – Pasaran getah Malaysia berada dalam prestasi yang agak lemah minggu ini, selepas menerima kesan daripada prestasi negatif dalam pasaran niaga hadapan serantau serta pasaran niaga hadapan Shanghai.

Bursa Komoditi Tokyo didagangkan rendah untuk sepanjang minggu ini, berikutan yen yang lebih kukuh berbanding dolar US, manakala niaga hadapan Shanghai menjadi lemah selepas Beijing menaikkan kadar faedah jangka pendek.

Bagaimanapun, seorang peniaga berkata, kerugian telah dihadkan sedikit oleh pemulihan dalam harga minyak selepas Amerika Syarikat mengenakan sekatan ke atas beberapa individu dan entiti Iran pada awal minggu ini.

Katanya, langkah itu diambil selepas White House membantah ujian peluru berpandu balistik Tehran.

Melangkah ke minggu depan, seorang peniaga lain memberitahu terdapat pelbagai isyarat yang menunjukkan pergerakan pasaran getah, disebabkan oleh kelemahan dalam pasaran niaga hadapan serantau dan Shanghai termasuk peningkatan harga minyak.

Katanya, para peniaga dijangka mengambil pendirian untuk tunggu dan lihat bagi melihat sebarang perkembangan dalam pasaran serantau sebelum membuat sebarang keputusan.

Pasaran ditutup pada hari Khamis bagi cuti Thaipusam.

Dari Jumaat ke Jumaat, harga fizikal rasmi Lembaga Getah Malaysia bagi gred tayar SMR 20 pada tengah hari susut tujuh sen kepada 961 sen sekilogram, manakala lateks pukal merosot sebanyak 17.5 sen kepada 795 sen sekilogram.

Harga penutup tidak rasmi bagi gred tayar SMR 20 dan lateks pukal, masing-masing sebanyak 969 sen sekilogram dan 794 sen sekilogram. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast