LAHORE – Sekurang-kurangnya 10 orang terbunuh dan berpuloh-puloh lagi cedera apabila letupan berlaku pada perhimpunan yang diadakan di Lahore, Pakistan, lapor media tempatan

Letupan itu meledak pada perhimpunan yang dianjurkan oleh pengilang kimia dan farmaseutikal Pakistan

Akhbar berbahasa Inggeris, Dawn dan rangkaian televisyen berbahasa Urdu, Dunya berkata 10 orang terkorban. Dawn pula melaporkan 30 orang mengalami kecederaan semasa serangan itu.

“Rupa-rupanya ia adalah letupan berani mati dan polis masih menyiasat bagi mengetahui punca letupan,” kata jurucakap polis Punjab, Nayab Haider.

Jurucakap Jamaat-ur-Ahrar, kumpulan serpihan Taliban Pakistan membuat panggilan ke Reuters dan mendakwa bertanggungjawab terhadap serangan tersebut.

Kumpulan tersebut juga mendakwa bertanggungjawab terhadap serangan bom pada Hari Easter di Lahore tahun lalu yang menyaksikan 70 orang terbunuh di taman awam.

Keselamatan di Pakistan bertambah baik sejak kebelakangan ini namun kumpulan militan seperti Taliban Pakistan dan Daesh masih mendatangkan ancaman dan melakukan serangan secara besar-besaran.

Perdana Menteri, Nawaz Sharif berkata, serangan itu tidak akan melemahkan usaha Pakistan menentang militan.

“Kami telah berjuang dalam memerangi pengganas yang ada dalam kalangan kami dan akan terus berjuang sehingga kami membebaskan penduduk kami daripada ancaman ini dan membalas dendam untuk mereka yang telah terkorban,” katanya dalam satu kenyataan.