KUALA LUMPUR – Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah menitahkan Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) melakukan satu rombakan secara drastik.
Baginda bertitah, FAS perlu mewujudkan barisan pengurusan yang cekap dengan meletakkan pembangunan bola sepak jauh di atas ego peribadi dan kepentingan individu-indivdu tertentu.
“FAS memerlukan seorang yang berpengalaman dalam memulih dan membangunkan organisasi, disokong oleh sebuah pasukan yang berkebolehan yang dapat membantu dalam menerajui usaha-usaha rombakan ini.
“Beta bersama Tuanku Sultan Selangor amat bimbang akan kata-kata untuk perubahan drastik daripada FAS ini bagai menumbuk padi hampa,” titahnya yang dizahirkan dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Tengku Amir bertitah, ayahandanya sebagai Penaung Diraja FAS dan baginda menyarankan untuk melakukan perubahan-perubahan berikut seperti jawatan presiden tidak boleh dipegang lebih daripada dua penggal (satu penggal tidak lebih daripada empat tahun).
Baginda bertitah, kriteria untuk calon Presiden FAS adalah individu tersebut tidak boleh terlibat secara langsung dalam politik.
Titahnya, apatah lagi individu yang gemar membuat kacau bilau dan mengganggu ketenteraman orang ramai sama sekali tidak perlu mencalonkan diri.
“Empat orang ahli Exco kanan dan Setiausaha Agung mesti dilantik oleh Presiden FAS dan jawatan tersebut tidak boleh dipegang oleh orang yang sama lebih daripada dua penggal berturut-turut (satu penggal tidak lebih daripada empat tahun).
“Barisan Exco yang akan dipilih pada Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) yang akan datang, 60 peratus daripada mereka perlu terdiri daripada muka baharu.
“Ahli jawatankuasa baru perlu memberi dedikasi dan komitmen yang tinggi, meletakkan petunjuk prestasi dan bekerja bersungguh-sungguh untuk mencapainya.
“Statut FAS turut dikemaskinikantermasuk memberi lebih kuasa eksekutif kepada Presiden, meletakkan jangka masa maksima memegang jawatan, portfolio ahli jawatankuasa supaya lebih efektif berteras kepada petunjuk prestasi utama agar memberi impak yang positif terhadap kemajuan bolasepak di negeri Selangor Darul Ehsan,” titah dalam kenyataan itu lagi.
Tengku Amir turut menyarankan agar timbul ketelusan di kalangan ahli-ahli kelab gabungan FAS apabila kelab gabungan perlu bergiat aktif sekiranya mahu mengundi.
Titah baginda, satu cara adalah untuk kelab-kelab gabungan lebih melibatkan diri dalam usaha pembangunan bola sepak dan seharusnya menyampaikan laporan berkala kepada FAS.
Baginda bertitah, proses itu perlu telus di mana kriteria dan penanda aras perlu diletakkan supaya perlaksanaanya berjaya.
“Seluruh barisan kepimpinan FAS perlu memikul tanggungjawab dan akauntabiliti agar keadaan kewangan persatuan menjadi kukuh dan mampan dalam masa yang terdekat. Ini termasuk tidak bergantung kepada pembiayaan daripada kerajaan negeri secara berterusan.
“Pembangunan bola sepak di negeri mesti dipertingkatkan dan FAS perlu bekerjasama rapat dengan ahli-ahli kelab gabungan, pertandingan-pertandingan bola sepak komuniti dan lain-lain badan sektor awam dan swasta yang berkaitan dalam menyumbang kepada pembangunan akar umbi dan belia bola sepak di Selangor,” titahnya lagi.
Tengku Amir turut menasihati FAS agar jangan hanya bermegah dengan kecemerlangan pasukan bola sepak Selangor di peringkat dalam negara.
Sebaliknya tegas baginda, cita-cita harus dilonjakkan bukan sahaja menang trofi di tanah air akan tetapi menjadi juara di serantau Asia Tenggara malahan di peringkat Asia.
“Dengan tujuh langkah pembaharuan di atas, kami percaya ianya merupakan langkah awal yang diperlukan untuk terus mara ke hadapan.
“Beta dan Tuanku Sultan melihat sukan bola sepak adalah sukan yang menjadi salah satu faktor penyatuan rakyat jelata. Apabila kami melihat penyokong daripada pelbagai latar belakang dan bangsa, bersatu memberi sokongan kepada pemain di atas padang, ianya mendatangkan kepuasan dan kegembiraan yang tidak terhingga.
“Ini adalah masa yang kritikal untuk FAS memulihkan keadaan yang sangat tenat dan merealisasikan potensi sebenar yang terdapat pada pasukan kesayangan kita semua,” titahnya.
Tengku Amir bertitah, EGM FAS yang akan datang tidak lama lagi adalah peluang mereka menebus maruah dengan membuat keputusan yang dihormati untuk memudahkan proses transisi ini agar kegemilangan pasukan bola sepak Selangor Darul Ehsan yang kita impi-impikan akan tercapai. – MalaysiaGazette