Ramon Navaratnam

KUALA LUMPUR – Kerajaan sebenarnya sudah pun secara beransur-ansur mengecilkan saiz penjawat awam apabila mengurangkan peruntukan bajet, contohnya dalam Kementerian Pendidikan.

Tokoh ekonomi, Tan Sri Ramon Navaratnam berkata, tindakan itu membuktikan kerajaan perlu berhemah dalam perbelanjaan terutama ketika ketidakpastian dan ketidaktentuan dalam ekonomi global.

Beliau pasti kerajaan tidak akan mengecilkan saiz penjawat awam secara drastik kerana Malaysia memulakan pembentukan kerajaan pada saiz yang besar.

“Jadi untuk mengecilkannya ia tidak boleh dibuat secara drastik tetapi secara berperlahan dan berterusan,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas cadangan Bekas Ketua Setiausaha, Tan Sri Mohd Sheriff Mohd Kassim yang menyarankan kerajaan mempertimbangkan pengurangan jumlah kakitangannya terutama golongan rendah untuk mengurangkan perbelanjaan.

Mohd Sheriff yang juga bekas Ketua Pengarah Unit Perancang Ekonomi khuatir kerajaan sukar mengekalkan tenaga kerjanya jika berada dalam krisis kewangan.

Sehubungan itu, katanya, kerajaan perlu mengecilkan jumlah penjawat awam sedia ada seramai 1.6 selagi boleh.

Bagaimanapun, cadangan itu ditentang oleh Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) dengan alasan cadangan itu tidak akan menyelesaikan masalah pengurusan kerajaan malah akan memberikan impak negatif kepada sektor perkhidmatan awam di negara ini.

Mengulas mengenai perkara itu, Navaratnam tidak menolak cadangan itu adalah kritikal tetapi idea itu perlu difikirkan secara teliti dan rasional.

“Ia perlu ada satu kajian yang khusus, perlu ada jawatan kuasa khas yang mengkaji implikasi, keperluan negara dan kelangsungan kerajaan.

“Kita jangan lupa kerajaan juga adalah majikan, maka ia mesti mempunyai modal yang cukup untuk menanggung kakitangan dan keperluan negara. Kalau perbelanjaan tidak mencukupi bagaimana kerajaan mahu mengurus dan mentadbir sesebuah negara dengan baik. Ini adalah isu kelangsungan,” ujarnya.

Tambahnya, di negara lain bukan semua sektor perlu berada di bawah kerajaan dan tidak semestinya sektor-sektor yang diswastakan akan menyebabkan kehidupan rakyat semakin terbeban.

“Ini semua terpulang kebijaksanaan kerajaan untuk berunding. Jika bijak, mungkin faedah yang bakal dinikmati jauh lebih baik daripada apa yang pernah ditawarkan oleh kerajaan.

“Sebab itu saya katakan, rakyat negara ini tidak boleh sentiasa berasa selesa kerana dunia berubah – cuma kita yang menentukan sama ada untuk berubah lebih baik atau sebaliknya,” katanya.

Ditanya tidakkah ia akan menjejaskan kehidupan rakyat yang selesa yang selama ini di bawah ‘payung kerajaan’, Navaratnam berkata: “Sebab itulah punca majoriti rakyat Malaysia menjalani kehidupan dengan di luar kemampuan, mementingkan gaya hidup kerana selalu tahu ada bantuan kerajaan.

“Tetapi sampai bila hendak bergantung kepada kerajaan. Rakyat perlu belajar hidup berdasarkan kemampuan poket masing-masing kerana tidak selamanya kerajaan perlu mengeluarkan belanja yang besar. Kerajaan juga perlu bekerja mencari wang,” jelasnya.

Tambah beliau, kerajaan hanya perlu mengekalkan kakitangan yang profesional dan berkemahiran tinggi supaya dengan cara itu golongan ini dapat menentukan hala tuju negara dengan lebih baik. – MalaysiaGazette