Pengarah Eksekuti (Pembangunan Sosio-Ekonomi) - DBKL, Datuk Ibrahim Yusoff bercakap pada sidang media selepas Majlis Perasmian Let's Do It Malaysia - Eco & Biodegradble Day di Plaza Low Yat, Kuala Lumpur. foto NOOR ASREKUZAIREY SALIM, 17 FEBRUARI 2017

KUALA LUMPUR – Semua peniaga di ibu negara dinasihatkan mula menggunakan bahan pembungkus biodegradasi bagi mengelakkan dikenakan kompaun maksimum RM2,000.

Perkara itu dinyatakan Pengarah Pelesenan dan Pembangunan Penjaja Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, Datuk Ibrahim Yusof bagi memastikan penggunaan polisterin dan plastik tidak terurai dikurangkan sepenuhnya.

Penguatkuasaan itu akan bermula September depan untuk pelaksanaan seratus peratus penggunaan bungkusan biodegradasi.

Malah semua peniaga dinasihatkan agar menghabiskan segala stok polisterin dan plastik tidak terurai sehingga tarikh berkenaan.

“Mulai 1 September berkuatkuasa kepada semua peniaga yang masih menggunakan produk polisterin dan tidak menggunakan produk biodegradasi, kita akan ambil tindakan undang-undang.

“DBKL akan kompaun peniaga-peniaga yang tidak menggunakan produk biodegradasi kerana penggunaan polisterin ini boleh menjejaskan kesihatan,” katanya dalam sidang media sempena program Hari Biodegradasi dan Eco di Plaza Lowyat hari ini.

Pembungkus polisterin adalah sampah kekal yang tidak akan lupus selama ribuan tahun serta melepaskan sisa toksik apabila dibakar atau dihancurkan.

Dalam masa yang sama, DBKL menasihati pembekal produk biodegradasi agar tidak sewenang- wenangnya menaikkan harga produk tersebut biar pun penguatkuasaan kearah itu dilaksanakan.

“Kepada pembekal produk ini supaya kurangkan sikit harga kerana produk biodegradasi ini ada sedikit mahal dan minta harga dapat dikurangkan,” katanya lagi.

Pengharaman penggunaan bekas makanan diperbuat daripada polisterin mula dilaksanakan oleh DBKL Mac tahun lalu.

Ia dilancarkan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor. -MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast