Caruman untuk pekerja 60 tahun sudah berkuatkuasa.

KUALA LUMPUR – Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dijangka mengumumkan dividen realistik bagi 2016 yang seiring dengan keadaan persekitaran pasaran bagi pelaburan dana.

Kelemahan pasaran ekuiti serta harga komoditi yang rendah, ternyata menyuramkan perniagaan yang akan dicerminkan menerusi pembayaran dividen yang kurang menggalakkan.

KWSP ternyata tidak terkecuali dan menyamai nasib beberapa institusi dana utama lain yang gagal mengulangi pulangan sebelum ini berikutan hala tuju ekonomi yang tidak mencatat banyak perubahan sejak kemelut global pada 2008.

Bagaimanapun, pendirian dana persaraan utama Malaysia itu yang kekal komited terhadap sasaran memberi dividen sekurang-kurangnya dua peratus melepasi kadar inflasi untuk tempoh tiga tahun, ternyata melegakan kalangan pencarum.

Keberkesanan strategi pelaburan KWSP juga menjadi panduan membantu dana berkenaan melaksanakan Peruntukan Aset Strategik (SAA) bagi menjana pendapatan sewajarnya biarpun dalam senario turun naik pasaran.

Keadaan pasaran itu dijejaskan oleh pengaliran keluar modal ke ekonomi negara maju, kelemahan tukaran asing dan perkembangan geopolitik seperti tindakan Britain keluar daripada Kesatuan Eropah (EU) serta keputusan pilihan raya Presiden Amerika Syarikat.

Malah, senario mencabar itu turut dialami dana lain termasuk Amanah Saham Nasional di bawah Permodalan Nasional Bhd yang mencatat agihan pendapatan sebanyak 5.00 sen seunit pada 2016 berbanding 6.10 sen, sebelum ini.

Tabung Haji juga tidak terkecuali apabila mengumumkan agihan bonus tahunan sebanyak 4.25 peratus dan bonus tambahan 1.5 peratus kepada pendeposit yang belum menunaikan haji bagi tahun kewangan 2016 berbanding bonus 5.0 peratus dan tambahan bonus haji 3.0 peratus bagi 2015.

Ketua Pakar Ekonomi Maybank Investment Bank Group, Suhaimi Ilias berkata, persekitaran mencabar itu terbukti memberi impak ke atas perniagaan.

“Kita perlu akur persekitaran pelaburan yang mencabar, baik di peringkat tempatan mahupun global pada tahun lalu terbukti mempengaruhi pengumuman dividen oleh PNB serta Tabung Haji,” katanya.

Bagi KWSP, Suhaimi berkata, dia percaya dana persaraan itu sememangnya menjangkakan perkembangan berkenaan apabila menyasarkan untuk mengumumkan dividen 2 hingga 3 peratus melepasi kadar inflasi yang mencecah 2.1 peratus pada tahun lalu.

Sementara itu, Ketua Pakar Ekonomi Bank Islam Malaysia, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashi pula berkata, perlu realistik dengan hasil pelaburan KWSP. Afzanizam turut membangkitkan keadaan yang menyaksikan petunjuk utama FBM KLCI mencecah 1,641.73 mata pada akhir 2016 iaitu penurunan tiga peratus berbanding akhir 2015 manakala pulangan Sekuriti Kerajaan meningkat di semua peringkat pada 2016 yang menunjukkan penyusutan harga bon.

“Sehubungan itu, kelas aset tradisional berhadapan tempoh mencabar pada 2016 dan seharusnya memberi gambaran mengenai kadar dividen untuk 2016,” katanya.

Afzanizam berkata, KWSP juga dari semasa ke semasa bertindak mempelbagaikan portfolionya merangkumi kelas aset lain seperti ekuiti swasta, hartanah serta pelaburan luar negara.

Katanya, dia yakin strategi sedemikian dapat mengurangkan risiko terhadap portfolio KWSP berdasarkan instrumen pelaburan tradisional yang goyah dan tidak menentu.

“Apa pun keadaannya, KWSP akan terus mengamalkan strategi pelaburan secara berhemat yang bertepatan dengan risikonya.

“Pada masa sama, amat penting bagi KWSP untuk membuat persiapan wajar bagi berhadapan sebarang kemungkinan yang boleh menjejaskan kedudukan pelaburannya.

“Prinsip sedemikian harus diutamakan dalam usaha menerapkan keyakinan orang ramai (terhadapnya),” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast