KUALA LUMPUR – Kerajaan Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya serangan kejam di Sindh, Pakistan yang meragut sekurang-kurangnya 70 nyawa dan mencederakan 250 yang lain.
Insiden terbaharu ini adalah lanjutan daripada siri serangan pengganas di bandar-bandar utama seperti Lahore, Quetta dan Peshawar sejak 13 Februari 2017.
Kementerian Luar berkata, Malaysia amat sedih dengan tindakan keganasan yang tidak berasas ini yang telah meragut banyak nyawa yang tidak berdosa disamping mencederakan ramai yang lain.
Kerajaan Malaysia berharap pihak yang bertanggungjawab ke atas jenayah ini akan dibawa ke muka pengadilan secepatnya.
Kerajaan Malaysia juga merakamkan takziah dan simpati kepada Kerajaan Republik Islam Pakistan dan keluarga mangsa yang terlibat, katanya.
Sehingga kini, tiada rakyat Malaysia dilaporkan terlibat dalam insiden ini.
Kementerian Luar melalui Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Islamabad dan Konsulat Jeneral Malaysia di Karachi akan terus memantau situasi ini. – MalaysiaGazette