Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man bercakap pada sidang media selepas selesai Mesyuarat Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat di Markas Pas Taman Melewar, Gombak Selangor. foto MOHD HAZROL ZAINAL, 17 FEBRUARI 2017.

KUALA LUMPUR – Wujud percanggahan pendirian antara Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dengan Jawatankuasa Perundingan yang diketuai Timbalannya, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berhubung keputusan kerjasama dengan PPBM.

Tuan Ibrahim dalam sidang media pada Jumaat mengatakan Pas akan meneruskan rundingan untuk bekerjsama dengan PPBM, tetapi Hadi pula dilaporkan berkata di Marang keputusan tidak akan bekerjasama dengan PPBM adalah muktamad.

Selepas mesyuarat Jawatankuasa Perundingan sebentar tadi, Tuan Ibrahim berkata, Pas akan meneruskan berunding dengan PPBM tetapi dengan beberapa syarat yang perlu dipersetujui antara kedua-dua pihak.

“Jawatankuasa akan terus berunding dengan PPBM, juga meneliti berapa perkara dan syarat.

“Cuma dalam kerjasama dengan PPBM kita semak beberapa perkara dibuat PPBM sebab Pas tegaskan tidak mahu ada hubungan dengan DAP dan PAN.

“Kita tidak mahu mereka bersama kita tapi kemudiaan sepentas dengan mereka menyerang PAS. Kita tidak mahu PPBM bersama DAP dan PAN menyerang parti, kita sentiasa semak semua ini,” kata Tuan Ibrahim dalam sidang media di Pusat Tarbiah Pas Taman Melewar, Gombak hari ini.

Susulan kenyataan tersebut, wartawan mengasak Tuan Ibrahim dengan mempersoalkan sama ada kenyataan dibuat oleh Hadi tersebut membelakangi keputusan Jawatankuasa Perunding yang ditubuhkan itu.

“Saya akan teliti semula kenyataan Hadi dalam laporan itu,” jawab Tuan Ibrahim apabila diasak wartawan mengenai kenyataan Hadi awal hari ini.

BACA: Keputusan tidak kerjasama dengan PPBM muktamad – Hadi

Tuan Ibrahim menjelaskan sebarang keputusan muktamad kerjasama dengan PPBM hanya dapat diputuskan dalam Majlis Syura parti tersebut.

“Jawatankuasa Perundingan tidak ada mandat buat keputusan, tapi ia hanya akan dibawa kepada Pas Pusat dan akhirnya diputuskan dalam Majlis Syura Ulama,” kata beliau.

Pengerusi PPBM Tun Dr Mahathir Mohamad sebelum ini dilaporkan berkata parti itu akan mengadakan kerjasama dengan DAP susulan kenyataan Hadi yang Pas tidak akan bekerjasama dengan PPBM untuk menghadapi pilihan raya umum ke-14.

Hadi membuat kenyataan itu selepas Dr Mahathir berkata PPBM memberi tempoh sebulan untuk Pas membuat keputusan berhubung kerjasama kedua-dua parti tersebut.

Jawatankuasa Induk Bersama PPBM dan Pas sebelum ini pernah mengadakan pertemuan untuk membentuk kerjasama, persefahaman dan muafakat politik. – MalaysiaGazette