Allahyarhamah Che Tom Yahaya menghembuskan nafas terakhir kira-kira jam 2.14 minit pagi tadi di Hospital KPJ Damansara akibat serangan angin ahmar.
Turut memberikan penghormatan terakhir Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah ibni Sultan Sharafuddin Idris dan pemimpin Pakatan Rakyat (PR).
Tengku Amir tiba di perkarangan kediaman Allahyarhamah jam 10.05 minit pagi dan disambut orang ramai yang hadir.
Baginda turut menunaikan solat sunat jenazah dan meluangkan masa selama 15 minit sebelum jenazah dibawa ke tanah perkuburan.
Sementara itu, Mohamed Azmin ketika ditemui selepas upacara pengkebumian itu memberitahu, Allahyarhamah ibunya diserang angin ahmar kali pertama pada 10 Oktober tahun lepas.
Katanya, Allahyarhamah selamat menjalani pembedahan pertama untuk membuang darah beku di dalam otaknya dan berada di Unit Rawatan Rapi (ICU) selama empat bulan.
“Perkembangannya selepas itu positif dan menurut doktor ibu saya boleh dibawa keluar dari ICU untuk ditempatkan ke wad biasa.
“Tetapi pada Sabtu lepas beliau telah diserang angin ahmar kali kedua dan kali ini serangan itu agak serius.
“Memandangkan usianya yang telah menjangkau 82 tahun maka proses untuk pemulihan itu agak sukar,” katanya.
Bagaimanapun, beliau redha dengan apa yang berlaku dan menganggap ia sesuatu yang harus diterima oleh setiap insan.
Beliau turut bersyukur kerana semua ahli keluarganya berada di sisi Allahyarham ketika ibunya menghembuskan nafas terakhir. – MalaysiaGazette