BANGKOK – Foodpanda akan menghentikan operasi platform serta perkhidmatan penghantaran makanan dan barangan runcit di Thailand, 23 Mei ini.
Bangkok Post melaporkan, pengumuman itu dibuat syarikat induk Foodpanda, Delivery Hero, hari ini.
Katanya, keputusan itu selaras dengan tumpuan Delivery Hero untuk “mengoptimumkan strategi geografi”.
Ia merupakan langkah yang sama diambil sebelum ini di negara seperti Denmark, Ghana, Slovakia dan Slovenia, kata syarikat yang berpangkalan di Berlin itu dalam satu kenyataan.
Delivery Hero juga katanya akan terus menumpukan usaha di bahagian lain Asia Pasifik di mana kumpulan itu melihat pulangan yang lebih tinggi, tambahnya.
Menurut syarikat itu, pasukan serantau yang berpusat di Thailand, yang menyediakan perkhidmatan seperti pemasaran dan operasi sumber manusia bagi rantau Asia Pasifik, akan terus beroperasi seperti biasa.
“Delivery Hero mengucapkan terima kasih kepada kakitangan, pelanggan, rakan kongsi dan penghantar di Thailand dan komited untuk menyokong mereka sepanjang tempoh peralihan,” tambah kenyataan itu.
Foodpanda menghadapi cabaran dalam pasaran penghantaran makanan di Thailand yang sangat kompetitif, dengan pegangan pasaran kurang daripada 15%, jauh di belakang Lineman Wongnai (44%) dan GrabFood (39.4%).
Dalam pasaran yang dianggarkan bernilai 86 bilion baht (RM11.3 bilion), hanya GrabFood yang telah mula melaporkan keuntungan sederhana.
Manakala Foodpanda mencatatkan kerugian terkumpul bagi tahun 2022 dan 2023 mencecah hampir 3.8 bilion baht. Angka bagi tahun 2024 masih belum tersedia.
Delivery Hero cuba menjual sebahagian daripada perniagaan Foodpanda di Asia Tenggara pada tahun lepas tetapi gagal mencapai persetujuan dengan pembeli yang berpotensi.
Syarikat itu tidak menamakan pembeli yang berpotensi tetapi laporan sebelum ini menunjukkan bahawa Grab yang berpangkalan di Singapura adalah antara pihak yang berminat.
Meituan dari China juga dikatakan sedang meneroka kemungkinan pengambilalihan Foodpanda bagi mengukuhkan kehadiran mereka di Asia Tenggara. -Bangkok Post
IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast
Kongsi:
- Click to share on Facebook (Opens in new window) Facebook
- Click to share on X (Opens in new window) X
- Click to share on Telegram (Opens in new window) Telegram
- Click to share on WhatsApp (Opens in new window) WhatsApp
- Click to share on LinkedIn (Opens in new window) LinkedIn
- Click to share on Threads (Opens in new window) Threads