Nazri Khan

KUALA LUMPUR – Bursa Malaysia dijangka diniagakan kukuh minggu depan, dirangsang oleh peningkatan keyakinan pelabur susulan data keluaran dalam negara kasar (KDNK) lebih baik daripada dijangkakan yang dikeluarkan pada Khamis.

Naib Presiden/Ketua Penyelidikan Runcit Affin Hwang Investment Bank, Datuk Dr Nazri Khan Adam Khan berkata, petunjuk pasaran FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) dijangka kekal positif dan mencecah paras 1,730.

“FBM KLCI telah melepasi paras halangan psikologi 1,700 mata sejak Isnin. Bersama-sama dengan data ekonomi yang lebih baik itu, ia menunjukkan keyakinan dalam kalangan pelabur telah bertambah baik dan ini akan meningkatkan momentum belian,” katanya.

Bank Negara Malaysia mengumumkan KDNK Malaysia tumbuh sebanyak 4.5 peratus pada suku keempat 2016 (S-416), disokong oleh pengembangan berterusan dalam perbelanjaan sektor swasta yang membawa kepada pertumbuhan tahun penuh 4.2 peratus.

Bagaimanapun, Nazri berkata pasaran saham tempatan juga akan dipengaruhi oleh prestasi ringgit dan harga komoditi, seperti minyak sawit mentah dan minyak mentah.

“Sekiranya harga komoditi semakin pulih minggu depan, ia sudah pastinya menyediakan sokongan kepada bursa tempatan,” katanya, sambil menambah ringgit mula stabil pada 4.45 berbanding dolar AS ketika ini.

Selain itu, beliau berkata, keputusan Rizab Persekutuan AS (Fed) bagi kadar faedahnya juga akan memberi kesan kepada indeks petunjuk pasaran itu.

“Bagaimanapun, menilai daripada kenyataan oleh Pengerusi Fed Janet Yellen semasa keterangannya di hadapan Kongres baru-baru ini, tidak ada petanda tergesa-gesa untuk menaikkan kadar faedah,” katanya.

Bagi minggu yang baru berakhir ini, pasaran tempatan menyaksikan dagangan jajaran kecil, disokong oleh dagangan dalam kaunter wajaran tinggi yang diterajui saham tenaga, perdagangan dan perkhidmatan dan perindustrian, serta data KDNK yang lebih baik daripada dijangkakan.

Bagi asas minggu ke minggu, FBM KLCI naik 8.74 mata kepada 1,707.68 daripada 1,698.94 pada Jumaat minggu lepas.

Indeks FBM Emas melonjak 57.74 mata kepada 12,021.17, Indeks FBMT 100 meningkat 55.78 mata kepada 11,699.35 dan Indeks FBM Emas Shariah menokok 34.46 mata kepada 12,524.86. Mengikut sektor, Indeks Kewangan meningkat 76.28 mata kepada 15,067.0 dan Indeks Perusahaan naik 40.44 mata kepada 3,277.91.

Bagaimanapun, Indeks Perladangan turun 68.87 mata kepada 8,146.42. Jumlah dagangan mingguan meningkat kepada 11.34 bilion unit bernilai RM 12.19 bilion daripada 9.74 bilion unit bernilai RM9.27 bilion.

Jumlah dagangan Pasaran Utama melonjak kepada 8.22 bilion saham bernilai RM11.62 bilion daripada 6.99 bilion saham bernilai RM6.76 bilion. Jumlah dagangan waran naik kepada 872.14 juta unit bernilai RM113.42 juta daripada 867.57 juta unit bernilai RM120.69 juta.

Pasaran ACE menambah kepada 2.16 bilion saham bernilai RM450.25 juta daripada 1.84 bilion saham bernilai RM377.56 juta. – MalaysiaGazette