Presiden MyPPP, Tan Sri M. Kayveas

KUALA LUMPUR- Parti Progresif Rakyat (MyPPP) menegur kerajaan yang didakwa kurang memberi perhatian kepada aspek keselamatan awam.

Ini menurut Presidennya, Tan Sri M. Kayveas punca menyebabkan banyak berlaku kemalangan yang sepatutnya boleh dielak.

Dengan itu, MyPPP katanya akan menghantar satu kertas cadangan penubuhan satu jawatan di Jabatan Perdana Menteri kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak esok.

“MyPPP pernah memberi cadangan ini empat tahun lalu namun tiada tindakan diambil ke atasnya.

“Jika kita lihat sekarang, terlalu banyak kemalangan seperti tayar lori melayang ke atas kenderaan lain, besi terjatuh dari lori, tong gas diletakkan terlalu hampir dengan pelanggan di kedai makan dan terbaharu kejadian kanak-kanak dilanggar kereta ketika bermain basikal pada jam tiga pagi.”

“Kemalangan-kemalangan sebegini boleh dielakkan sekiranya Malaysia mempunyai badan yang memantau dan memberi pendidikan mengenai keselamatan awam kepada rakyat,” katanya semasa sidang media penerangan mengenai isu-isu semasa MyPPP di sini hari ini.

Jelas M. Kayveas, keselamatan awam tidak mempunyai hubung kait dengan sekuriti atau kawalan keselamatan.

Tambah beliau, sudah tiba masanya kerajaan dan badan-badan bukan kerajaan lebih bersungguh-sungguh menjaga masyarakat melalui pelbagai program.

Ini juga menurutnya salah satu program di bawah strategi MyPPP untuk menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) akan datang.

Jelas M. Kayveas, tumpuan utama MyPPP adalah mendekati komuniti dengan pelbagai program yang menyeluruh dan melibatkan pelbagai peringkat usia dan latar belakang.

Menyentuh mengenai PRU-14, MyPPP berharap kuota yang diberikan semasa pilihan raya sebelumnya dikekalkan.

“Pada PRU-13, kami diperuntukkan dengan lima kerusi iaitu satu parlimen dan empat dewan undangan negeri.

Harap kali ini diberi mengikut kuota dahulu dan kami telah merancang strategi-strategi tertentu.

“Bagaimanapun keputusan mutlak sama ada dikekalkan, dikurang atau ditambah berada di tangan Perdana Menteri,” katanya lagi.

Kayveas juga mengarahkan mesyuarat peringkat negeri diselesaikan sebelum Jun supaya perhimpunan agung parti tersebut boleh diadakan sebelum pilihanraya.-MalaysiaGazette