Home Ekonomi Ringgit diunjur rendah minggu ini

Ringgit diunjur rendah minggu ini

KUALA LUMPUR – Ringgit dijangka diniagakan rendah berbanding dolar AS minggu depan dan berlegar sekitar paras 4.44 hingga 4.45, kata seorang peniaga.

Menurutnya, mata wang tempatan itu akan dipengaruhi oleh faktor ekonomi luaran, termasuk sebarang keputusan atau pengumuman oleh Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump.

“Sentimen juga akan dipengaruhi oleh jangkaan kenaikan kadar faedah AS pada bila-bila masa berikutan data pekerjaan dan inflasi lebih kukuh yang dikeluarkan,” katanya.

Sementara itu, menurut Bank Negara Malaysia, bagi bulan Disember 2016 dan Januari 2017, nilai tukaran eksport mengatasi import iaitu sebanyak AS$372.9 juta dan AS$741.3 juta.

“Perkembangan ini berkemungkinan baik dan memberi sokongan kepada ringgit dalam jangka pendek,” kata peniaga itu.

Bagi minggu yang baru berakhir ini, ringgit bergerak antara 4.4470 dan 4.4510 berbanding dolar AS. Bagi perbandingan asas Jumaat ke Jumaat pula, ringgit diniagakan lebih rendah pada 4.4510/4550 berbanding dolar AS daripada paras 4.4420/4470 pada Jumaat lepas.

Ringgit juga ditutup lebih rendah berbanding mata wang utama lainnya, kecuali pound Britain. Unit tempatan juga susut berbanding dolar Singapura kepada 3.1416/1451 daripada 3.1235/1277 serta rendah berbanding yen kepada 3.9417/9463 daripada 3.9081/9129 dan lemah berbanding euro kepada 4.7372/7428 daripada 4.7263/7334, sebelum ini.

Ia bagaimanapun meningkat berbanding pound Britain kepada 5.5273/5336 daripada 5.5516/5588 sebelumnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast