SEOUL – Pembunuhan abang tiri pemimpin Korea Utara, Kim Jong-nam di Malaysia pada minggu lalu menunjukkan kekejaman Korea Utrara dan ‘taktik keganasan yang semakin berani’, kata Perdana Menteri Korea Selatan, Hwang Kyo-ahn.
Para pegawai Korea Utara dan Amerika Syarikat (AS) percaya Jong-nam dibunuh oleh ejen Korea Utara, dengan diplomatnya cuba menghalang bedah siasat dilakukan ke atas mangsa yang berumur 46 tahun itu dan meminta mayatnya diserahkan kepada negara itu.
Semalam, polis Malaysia berkata mereka telah menahan seorang warga Korea Utara yang disyaki mempunyai kaitan dengan pembunuhan Jong-nam dan empat suspek warga Korea Utara telah melarikan diri dari Malaysia pada hari serangan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2.
Hwang memberitahu pada mesyuarat Majlis Keselamatan Nasional Korea Selatan bahawa adalah hampir pasti Korea Utara di belakang pembunuhan Jong-nam, anak sulung bekas pemimpin Korea Utara, Kim Jong Il.
“Pembunuhan yang dilakukan di tempat awam di lapangan terbang antarabangsa di negara dunia ketiga tidak boleh dimaafkan dan ia merupakan tindakan jenayah tidak berperikemanusiaan dan jelas menunjukkan tindakan yang melulu dan kejam rejim Korea Utara yang akan berbuat apa sahaja untuk mengekalkan (kuasa),” kata Hwang.
“Apa yang kita lihat dalam kes ini, taktik keganasan rejim Korea Utara lebih berani, oleh itu kita perlu lebih berjaga-jaga mengenai kemungkinan keganasan yang dilakukan rejim Korea Utara terhadap kerajaan dan rakyat kita,” kata Hwang. – Reuters