SHAH ALAM – Veteran UMNO Selangor menyifatkan apa yang dilakukan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) itu, Hannah Yeoh terhadap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batang Kali, Datuk Mat Nadzari Ahmad Dahlan tidak mengikut peraturan tetap Dewan Negeri.
Pengerusinya, Datuk Ahmad Bahari Abdul Rahman berkata, pengalaman beliau selama empat penggal sebagai ADUN, tidak pernah berlaku seperti DUN sekarang yang dianggap tidak berpengetahuan luas untuk mengendalikan sidang Dewan.
Beliau beranggapan, apa yang diucapkan oleh Mat Nadzari pada sidang DUN tahun lalu tidak melanggar Peraturan 36 (6).
“Kalau ADUN Batang Kali mengata, menghina seseorang, menentang kerajaan dan kemudian ada unsur sensasi rakyat, barangkali itu mungkin munasabah.
“Tetapi ucapannya hanya menyentuh dari segi dasar sebuah parti yang cuba membawa sistem demokrasi sosial Parlimen berperlembagaan di Malaysia, itu saja,” katanya pada sidang media di Pejabat UMNO Negeri di sini, hari ini.
Pada 6 Februari lalu, Mat Nadzari dihadapkan ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan DUN Selangor berhubung kenyataan yang dikeluarkannya ketika sidang dewan pada 1 November tahun lalu.
Pada sidang itu, beliau mengemukakan soalan kepada Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, adakah terdapat sebahagian daripada komponen dalam pentadbirannya, matlamat pertubuhan itu untuk menubuhkan konsep demokrasi yang berlandaskan nilai demokrasi sosial di Malaysia menerusi perjuangan sistem Parlimen Berperlembagaan.
Maknanya kata Mat Nadzari, juga dalam bentuk soalan, ada isi atau niat barangkali untuk tidak mengiktiraf Raja Berperlembagaan kepada Parlimen Berperlembagaan dan ini memungkinkan institusi diraja tidak diiktiraf berbanding Barisan Nasional (BN) yang terbukti bukan saja mendukung dan menjunjung institusi diraja, malah bertanggungjawab sepenuhnya membela Perlembagaan Persekutuan.
Mengulas lanjut, Ahmad Bahari yang juga bekas ADUN Selayang Baru berkata, beliau melihat Speaker DUN kurang pengetahuan dari segi hendak melaksanakan tindakan seperti itu dan kefahamannya mengenai peraturan tetap Dewan juga tidak begitu baik.
“Tindakan yang dilakukan Speaker ini tidak munasabah dan saya nampak mereka menggunakan perkara ini bagi menyekat mana-mana ADUN Barisan Nasional (BN) bersuara dalam perkara terbuka dan tertutup.
“ADUN dari DAP dan PKR pun selalu menyebut mengenai UMNO dan BN, tetapi itu tidak ada masalah. Kenapa kalau (ADUN) Batang Kali (bercakap) terus dikenakan tindakan tatatertib.
“Ini menampakkan mereka tidak begitu berpengatahuan luas dalam peraturan dewan dan mengambil tindakan terburu. Tindakan ini jelas bertentangan dengan prinsip demokrasi berperlembagaan,” tegas beliau.
Beliau turut merasakan apa yang berlaku ke atas Mat Nadzari sebagai kes pertama dalam sejarah persidangan DUN Selangor.
Sementara itu, Mat Nadzari berkata, beliau dimaklumkan keputusan jawatankuasa terhadapnya dijangkan diputuskan esok. – MalaysiaGazette