Zairy Abdullah

KUALA LUMPUR – Ahli Jawatankuasa (AJK) Pakatan Harapan (PH) Sarawak, Zairy Abdullah memohon maaf kepada Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh membabitkan komen berunsur fitnah di Facebook beliau.

Zairy berkata, dakwaan Ketua Pemuda UMNO itu menerima RM10 juta daripada peruntukan komunikasi bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berpunca daripada kesilapan dan sumber yang tidak sahih.

“Saya mengakui kesilapan saya dalam menyebarkan maklumat tanpa terlebih dahulu menyemak kesahihannya.

“Saya amat kesal atas kekeliruan dan sebarang kesan negatif yang mungkin timbul akibat komen tersebut. Niat saya bukanlah untuk menyinggung atau menimbulkan salah faham, dan saya menerima sepenuhnya tanggungjawab atas kesilapan ini,” katanya dalam perkongsian di media sosial.

Jelasnya, beliau akan lebih berhati-hati dalam berkongsi maklumat serta memastikan segala fakta diperiksa dengan betul.

“Sekali lagi, saya dengan rendah hati memohon maaf kepada Dr. Akmal Saleh dan kepada sesiapa sahaja yang mungkin terkesan dengan komen saya. Saya menghargai segala jasa dan usaha beliau, dan saya berjanji untuk lebih bertanggungjawab dalam setiap tindakan saya di media sosial,” katanya.

Sebelum itu Dr. Muhamad Akmal mencabar Zairy untuk membuktikan dia menerima peruntukan RM10 juta daripada peruntukan komunikasi Ismail Sabri.

Ahli Dewan Undangan Negeri Merlimau itu turut memberi amaran untuk mengambil tindakan undang-undang sekiranya Ketua Pemuda PH Sarawak itu tidak memohon maaf.

“Satu fitnah jahat telah disebarkan ke atas diri saya. Saya cabar untuk penama ni yang mana telah padam FB profilenya untuk lapor ke pihak berwajib jika ada bukti yang melibatkan saya seperti yang didakwa

“Jika tidak, sila minta maaf ataupun kita jumpa di mahkamah. Simple as that. Saya bukan level penjilat untuk kepentingan diri macam kamu

“Berani kerana benar bukan penakut yang suka sebar fitnah dan padam profile bila kantoi,” kata Dr. Muhamad Akmal.-MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast