Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak melihat papan pameran sempena majlis perasmian " Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) Silver Jubilee Celebration and Latest Book' sempena Persidangan Antarabangsa Agama dan Kelestarian Tamaddun di IKIM, Kuala Lumpur. foto SAFWAN MANSOR, 20 FEBRUARI 2017

KUALA LUMPUR – Wasatiyyah atau kesederhanaan dalam agama dapat menjadi instrumen menyatupadukan rakyat daripada berpecah belah, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Najib berkata, masyarakat Melayu Islam merupakan contoh teladan kesederhanaan dalam Islam di mana ia membawa kemakmuran dalam sesuatu ketamadunan tanpa mengira latar belakang agama dan kaum.

“Wasatiyyah membawa mesej melakukan kebaikan dengan sabar, keadilan, persaudaraan dan berkebajikan, disamping menolak semua bentuk kejahatan seperti ekstremisme.

“Ia juga membolehkan kita melihat agama sebagai sesuatu yang menyatupadukan kita daripada berpecah belah. Di Malaysia kita ada Islam, Kristian, Budhha, Taoist, Hindu dan penganut agama lain. Kami gembira melihat rakyat senegara beragama lain menyambut perayaan mereka dan kami mengucapkan selamat kepada mereka,” kata Najib.

Beliau berkata demikian semasa menghadiri Persidangan Antarabangsa ‘Religion & Civilizational Sustainability’ di Dewan Besar Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) pada Isnin.

Beberapa perayaan dalam tempoh dua bulan seperti Thaipusan, Tahun Baharu Cina dan Krismas yang diraikan oleh masyarakat berbilang agama membuktikan kepelbagaian dan sentiasa mendapat tempat di Malaysia, kata Najib.

Dalam mengukuhkan kesederhanaan di Malaysia, pelbagai langkah diambil antaranya menubuhkan Institut Wasatiyyah dan Yayasan Gerakan Kesederhanaan Global (GMMF) sebagai tanda sokongan.

Selain itu, bagi menggalakkan supaya agama menjadi teras untuk mempromosikan kelestarian dan kesederhanaan, Najib juga menggesa supaya masyarakat berbilang kaum mempunyai kebersamaan khususnya dalam menentang ekstremisma dan radikalisasi. – MalaysiaGazette