Shahlan Ismail

KUALA LUMPUR – Datuk Shahlan Ismail membuat laporan polis hari ini meminta dua pengarah Yayasan Pembangunan Anak Yatim dan Miskin (PEMANGKIN) disiasat.

Ahli Lembaga Pengarah Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam (YaPEIM) itu membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Dang Wangi di sini.

Beliau mahu polis menyiasat Mohd. Yusof A. Bakar dan Ahmad Fadzil Hashim atas kegagalan mereka memberi penjelasan kepada mahkamah berhubung kekurangan wang berjumlah RM504,617.92 dari akaun PEMANGKIN.

Menurut Shahlan, sehingga saat ini, tidak ada sebarang penjelasan dibuat, apatah lagi afidavit yang mereka failkan untuk menjelaskan kekurangan wang itu.

“Saya, sejak tahun lepas lagi telah pun menyaman kedua-dua bekas pengarah ini dan mahkamah telah membenarkan permohonan saya serta perintah-perintah telah pun dikeluarkan ke atas mereka untuk mendedahkan dan menjelaskan kekurangan wang tersebut, tapi mereka telah gagal.

“Hari ini, saya telah memulakan prosiding pengkomitan, di mana mahkamah boleh mengkomitkan mereka ke penjara. Mereka berdua juga telah gagal untuk terima penyerahan kertas kuasa prosiding,” katanya kepada pemberita di luar pekarangan Balai Polis Dang Wangi malam tadi.

Minggu lalu, PEMANGKIN mengancam untuk memfailkan tuntutan mahkamah kali kedua ke atas Shahlan dan Pengarah YaPEIM, Datuk Abibullah Samsudin.

Ia berikutan kedua-duanya didakwa mengeluarkan kenyataan ‘mengelirukan’ terhadap Mohd. Yusof dan Ahmad Fadzil.

Pada masa sama, kedua-dua bekas pengarah dan pengasas PEMANGKIN itu turut dikatakan memfailkan saman fitnah terhadap Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharim, YaPEIM dan enam yang lain berhubung dakwaan salah laku pengurusan dana PEMANGKIN.

Menjelas lanjut, Shahlan yang juga Pengarah Strategik Pejabat Perdana Menteri telah meminta peguamnya memohon kepada mahkamah untuk membuat penyerahan ganti melalui pengiklanan akhbar berhubung perkara itu. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast