Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang

KUALA LUMPUR – Penasihat DAP dilihat cuba menikam belakang sekutunya, Tun Dr Mahathir Mohamad apabila menawarkan diri untuk menyertai siri jelajah UMNO dan Barisan Nasional berhubung kerugian urus niaga tukaran matawang asing (forex) oleh Bank Negara pada sekitar 1990-an.

Pengerusi PPBM, Tun Dr. Mahathir Mohamad membaca sesuatu.. Duduk bersebelahan Penasihat DAP, Lim Kit Siangpada Konvensyen Parti Amanah Negara 2016 di SACC Mall, Shah Alam. foto ASHRAF MUSTAQIM BADRUL MUNIR, 10 DISEMBER 2016.
Pengerusi PPBM, Tun Dr. Mahathir Mohamad (kanan) dan Lim Kit Siang pada Konvensyen Parti Amanah Negara 2016 di SACC Mall, Shah Alam. foto ASHRAF MUSTAQIM BADRUL MUNIR, 10 Disember 2016.

Tindakan Kit Siang jelas menunjukkan pemimpin DAP itu seorang yang tidak boleh dipercayai kerana sanggup melakukan apa sahaja demi mencapai agenda mereka, kata Ketua Pemuda UMNO Pulau Pinang, Rafizal Abd Rahim.

“Isu tukaran matawang asing ini bersangkut-paut dengan sekutu baru DAP iaitu Tun Dr. Mahathir dan Dr. Mahathir pula adalah individu yang dikaitkan dengan isu ini.

“Jadi apa yang ingin digambarkan oleh Kit Siang ini, adakah kerana ingin mengalihkan isu maka dia akan sekali lagi menggigit tangan dan menikam belakang sekutu sendiri.

“Sebab itulah, DAP ini adalah sebuah parti yang tidak boleh dipercayai kerana mereka akan menghalalkan apa sahaja asalkan agenda mereka tercapai,” ujarnya.

Baru-baru ini, Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Annuar Musa mengeluarkan kenyataan akan memulakan ‘roadshow’ bermula 25 Februari ini ke seluruh negara bagi menangkis dakwaan dan isu-isu yang dibangkitkan pembangkang, termasuk kerugian urusniaga matawang asing Bank Negara Malaysia.

Ekoran itu Kit Siang memberi maklum balas dan menawarkan diri untuk menyertai jelajah penerangan tersebut dan memberikan tempoh 48 jam untuk Annuar memberikan jawapan.

Pelawaan itu bagaimanapun ditolak Annuar.

Rafizal juga menyifatkan Kit Siang seorang yang tidak tahu malu dan menasihatinya supaya menyuruh anaknya, Lim Guan Eng yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang meletak jawatan sahaja.

“Hidung tak mancung, pipi tersorong, sorong, sudahlah tidak malu menawarkan diri, boleh pula kenakan syarat.

“Daripada sibuk mahu berdrama menjelang pilihan raya umum, adalah lebih baik dia menasihatkan anaknya letak jawatan,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast