Adam Lallana

ENGLAND- Penyerang Liverpool, Adam Lallana menamatkan spekulasi yang menyelubungi dirinya kononnya bakal berhijrah selepas menandatangani kontrak baharu bersama The Kops.

Justeru, Lallana akan kekal di Anfield sehingga tahun 2021 setelah memperbaharui kontraknya untuk empat tahun lagi dengan tawaran bernilai £31 juta.

Lallana mengikut jejak langkah rakan sepasukannya Philippe Coutinho yang telah mengikat kontrak selama lima tahun bersama Liverpool dan begitu juga dengan Joe Gomez.

Lallana, 28, akan menerima pendapatan £150,000 seminggu dengan kontrak baharu itu.

Liverpool telah mengadakan proses rundingan memujuk pemain itu sejak beberapa minggu lepas dan akhirnya kedua-dua pihak mencapai keputusan muktamad petang semalam.

Lallana menyertai Liverpool dengan nilai perpindahan berjumlah £25 juta dari Southampton.-MalaysiaGazette