Abdul Rahman Dahlan

KUALA LUMPUR – Barisan Nasional (BN) mula menggerakkan siri Ceramah Rakyat dalam usaha menangkis fitnah pembangkang, ia bermula semalam di Hulu Selangor yang antara lain menyentuh isu ekonomi dan isu setempat.

Sesi pertama yang berlangsung di Taman Bunga Raya, Bukit Beruntung di Hulu Selangor menyaksikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri merangkap Pengarah Komunikasi BN, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan dan Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Tan Sri Noh Omar turun padang.

Turut berbuat demikian Presiden Gerakan Datuk Seri Mah Siew Keong dan Timbalan Presiden MIC Datuk Seri S.K. Devamany.

Antara perkara yang disentuh Abdul Rahman ialah sabotaj ekonomi yang cuba dilakukan pihak tertentu termasuk dengan melempar tuduhan terhadap syarikat berkaitan kerajaan, selain usaha menjatuhkan kerajaan.

“Saya mahu ingatkan pembangkang jangan sabotaj ekonomi negara kerana akhirnya ia akan merugikan rakyat,” katanya pada Ceramah Rakyat bertema ‘Negaraku, Generasiku’ itu.

Abdul Rahman menegaskan tindakan perlu diambil terhadap pihak yang cuba mensabotaj ekonomi negara yang menurutnya boleh memudaratkan negara dan rakyat.

Noh pula memperkatakan tentang kegagalan tadbir urus negeri Selangor termasuk dari segi penyelenggaraan prasarana rumah kos rendah, pengurusan sampah, bekalan air dan wabak denggi.

Beliau menarik perhatian bahawa BN banyak membantu negeri Selangor sekarang walaupun ia bukan di bawah teraju BN, demi membantu rakyat negeri itu.

Perkara sama turut diperjelas Mah dan Devamany yang antara lain meminta rakyat supaya jangan mudah terpedaya dengan putarbelit pembangkang termasuk mengenai ekonomi.

Sesi ceramah itu akan diperluas ke negeri-negeri lain. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast