PUTRAJAYA – Saudi Aramco (Aramco) bakal melabur sebanyak AS$7 bilion pada Projek Pembangunan Bersepadu Penapisan Minyak dan Petrokimia (RAPID) di Pengerang, Johor.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, syarikat petroleum Arab Saudi itu telah memuktamadkan perbincangan dan rundingan dengan Petroliam Nasional Bhd. (Petronas) untuk memajukan loji penapisan minyak pada hari ini.
“Esok Petronas dan Aramco akan menandatangani perjanjian usahasama untuk memajukan kilang penapisan minyak di Pengerang, Johor.
“Raja Salman (Abdulaziz Al Saud) berpuas hati dan gembira dengan pemeteraian perjanjian itu esok,” katanya pada sidang media di Seri Perdana, hari ini.
Terdahulu, Najib dan Raja Arab Saudi, Raja Salman Abdulaziz Al Saud menyaksikan pemeteraian empat Memorandum Persefahaman antara Malaysia dan Arab Saudi.
Najib berkata, berikutan persetujuan yang dicapai itu, Aramco berkemungkinan merupakan pelabur tunggal terbesar di negara ini.
Tambah beliau, pelaburan yang dilakukan itu akan mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan selain meningkatkan keyakinan pelabur.
Ditanya mengenai hubungan dua hala antara Malaysia dan Arab Saudi, Najib berkata, ia merupakan tahap paling tinggi yang dicapai antara kedua-dua negara. – MalaysiaGazette