KUALA LUMPUR – Seorang blogger politik bergelar Datuk antara yang ditahan polis kerana mengeluarkan kenyataan berbaur fitnah berhubung kemalangan melibatkan lapan remaja berbasikal maut dirempuh sebuah kereta di Johor Bahru, baru-baru ini.
Mereka ditahan reman selama tiga hari bermula semalam untuk membantu siasatan berhubung kenyataan yang dimuatnaik dalam media sosial masing-masing.
Blogger berusia 61 tahun itu yang pernah mengenalikan blog Sang Kelembai yang terkenal dengan status ‘panas’ dalam Facebooknya ditahan di Bandar Sri Permaisuri di sini kira-kira jam 11 malam manakala seorang lagi lelaki berusia 64 tahun itu pula ditahan di Taman Sri Gombak, Batu Caves, Selangor.
Menurut Ketua Polis Johor, Datuk Seri Wan Ahmad Najmuddin Mohd, pihaknya turut merampas telefon bimbit dan kad sim yang digunakan mereka untuk memuatnaik kenyataan jelik dan berbaur hasutan dalam facebook.
“Mereka dipercayai membuat kenyataan jelik dan fitnah terhadap kes kemalangan maut yang melibatkan lapan remaja berbasikal di Jalan Lingkaran Dalam, Johor Bahru pada 18 Februari lalu,” katanya.
Mereka disiasat mengikut Seksyen 233 (1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, Seksyen 4 Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 500 Kanun Keseksaan.
Mahkamah memerintahkan lelaki bergekar Datuk direman sehingga Selasa ini, manakala seorang lagi sehingga hari ini bagi siasatan.
Perintah tahanan reman itu dikeluarkan Penolong Pendaftar, Faridatul Farah Shukri. – MalaysiaGazette