Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

BANGI – Malaysia akan hanya berkongsi segala maklumat berhubung pembunuhan abang tiri kepada pemimpin Korea Utara, Kim Jong-nam setelah pihak keselamatan di negara menyelesaikan sepenuhnya siasatan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata,  empat elemen dalam siasatan yang boleh dikongsi namun Polis Diraja Malaysia (PDRM) hanya boleh berbuat demikian selesai menyiasat.

“Perkongsian maklumat dan dapatan yang dilakukan terhadap penyiasat merangkumi empat aspek antaranya DNA, laporan forensik, laporan kimia dan bahan bukti menerusi CCTV.

“Keempat-empat aspek ini boleh dikongsi dengan badan perisikan antarabangsa dan boleh diguna pakai oleh badan di bawah PBB setelah pihak PDRM menyelesaikan siasatan dan siasatan itu mesti konklusif yang melibatkan bukan hanya pihak PDRM tetapi juga Kementerian Kesihatan, Jabatan Kimia serta Jabatan Penerbangan Awam MAHB yang mempunyai resolusi tinggi bagi rakaman insiden berkenaan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menutup Multaqa Pendidikan dan Sosial Majlis Perundingan Islam (MPI) di Institut Latihan Islam Malaysia hari ini.

Perkara itu, jelas Ahmad Zahid boleh dibuat dengan pendekatan Perjanjian Perundangan Bersama sekiranya ada badan-badan penyiaran dan pihak luar yang membuat permohonan untuk mendapatkan maklumat berkenaan kes berkenaan.

“Pihak kerajaan terbuka untuk berkongsi maklumat dan mereka harus menghormati sistem dan perundangan Malaysia untuk menyimpan bukti-bukti berkenaan sehingga pendakwaan dan juga Mahkamah memutuskan tentang prosedur perundangan itu telah berjalan dan dimuktamadkan oleh perundangan negara,” katanya yang juga Menteri Dalam Negeri.

Negara Britain pada Isnin menggesa Malaysia supaya berkongsi bukti daripada serangan maut agen saraf VX terhadap abang tiri Kim Jong-Un itu dengan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).

Duta Britain, Matthew Rycroft berkata, maklumat serangan pada 13 Februari di lapangan terbang Kuala Lumpur yang membunuh Kim Jong-Nam perlu dihantar ke Pertubuhan bagi Larangan Senjata Kimia (OPCW) yang berpangkalan di Hague.

Awal hari ini satu delegasi tertinggi dari Korea Utara tiba di Malaysia bagi membincangkan beberapa isu dengan pegawai kerajaan di negara ini

Ia termasuklah penghantaran pulang mayat Jong-nam.

Jurucakap delegasi itu iaitu bekas duta Korea Utara ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Ri Tong-il berkata, agenda utama perbincangan tersebut adalah berkaitan penghantaran pulang mayat rakyatnya yang maut di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (klia2) pada 13 Februari lalu.

Ujar Ahmad Zahid, pihak Korea Utara perlu menghormati sistem dan perundangan negara ini seperti mana yang dizahirkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sebelum ini.

“Saya telah beritahu sebagaimana yang dinyatakan Perdana Menteri bahawa sistem perundangan negara kita merupakan acuan yang harus dihormati dan kita hanya dapat memenuhi permintaan mereka (Kedutaan Korea Utara) dan seluruh prosedur yang sedang dijalankan sekarang diselesaikan secara muktamad,” katanya lagi.

Jong-nam berada di klia2 pada 13 Februari lepas untuk menaiki penerbangan ke Macau apabila tiba-tiba dihampiri dua wanita dan menyapu mukanya dengan tapak tangan mereka yang mengandungi cecair beracun.

Jong-nam yang menggunakan pasport dengan nama Kim Chol, mendapatkan bantuan di kaunter khidmat pelanggan di lapangan terbang itu dan segera dihantar ke Hospital Putrajaya namun meninggal dunia semasa dalam perjalanan.-MalaysiaGazette