Kang Chol

KUALA LUMPUR – Malaysia mengusir Duta Besar Korea Utara, Kang Chol dengan mengarahkan beliau meninggalkan negara ini dalam tempoh 48 jam, selewat-lewatnya pukul 6 petang Isnin ini, berikutan kegagalan menghadirkan diri di Kementerian Luar hari ini.

Kegagalan Kang Chol menghadirkan diri di Wisma Putra menyebabkan kerajaan Malaysia mengisytiharkan Duta Besar itu sebagai Persona Non Grata yang bermaksud ‘Orang yang Tidak Dihargai’.

Seseorang yang diisytiharkan sedemikian dilarang memasuki atau terus berada di sesebuah negara.

Ia merupakan bentuk kecaman yang paling serius yang boleh dikenakan ke atas seseorang diplomat asing selain digunakan untuk memberi isyarat tidak senang hati terhadap tingkah laku atau dasar negara penghantar.

Langkah itu merupakan sebahagian proses Kerajaan Malaysia untuk menilai semula hubungannya dengan Korea Utara selain mengenakan visa ke atas warganya yang mahu ke Malaysia, berkuatkuasa esok.

Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman berkata, beliau telah mengarahkan Kang Chol dipanggil ke Wisma Putra dan Duta Besar itu dijadualkan bertemu Timbalan Ketua Setiausaha Hubungan Dua Hala Kementerian Luar, Raja Nushirwan Zainal Abidin pada pukul 6 petang.

Wakil Wisma Putra menyerahkan nota diplomatik ke Kedutaan Korea Utara petang tadi, memaklumkan kepada kerajaan Korea Utara bahawa Kang Chol telah diisytiharkan sebagai persona non grata oleh kerajaan Malaysia. - MalaysiaGazette
Wakil Wisma Putra menyerahkan nota diplomatik ke Kedutaan Korea Utara petang tadi, memaklumkan kepada kerajaan Korea Utara bahawa Kang Chol telah diisytiharkan sebagai persona non grata oleh kerajaan Malaysia. – MalaysiaGazette

“Walau bagaimanapun, TYT Kang Chol mahupun pegawai kanan dari kedutaan tidak dapat menghadirkan diri ke Kementerian Luar.

“Oleh yang demikian, Kementerian Luar melalui Nota Diplomatik yang dihantar kepada Kedutaan DPRK (Korea Utara) telah memaklumkan bahawa TYT Kang Chol telah diisytiharkan oleh Kerajaan Malaysia sebagai Persona Non Grata.

“Beliau dikehendaki meninggalkan Malaysia selewat-lewatnya 48 jam dari masa mesyuarat tersebut, iaitu 6 petang, 4 Mac 2017,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut Anifah, pada pukul 5 petang 28 Februari lalu, pegawai-pegawai Kementerian Luar Negeri yang diketuai oleh Timbalan Ketua Setiausaha Hubungan Dua Hala telah berjumpa dengan Delegasi Peringkat Tinggi Korea Utara yang diketuai oleh Kim Song.

Katanya, Korea Utara telah dimaklumkan bahawa andainya jawapan tidak diterima selewat-lewatnya pukul 10 malam hari yang sama, maka Kerajaan Malaysia akan mengambil langkah-langkah untuk mempertahankan kepentingan negara.

Anifah berkata, pada mesyuarat tersebut, Malaysia telah menuntut supaya Korea Utara mengemukakan permohonan maaf secara bertulis bagi dakwaan-dakwaan yang telah dilontarkan oleh Duta Besar Korea Utara terhadap Malaysia.

Sebelum ini, Kang Chol menuduh Malaysia mahu menyembunyikan sesuatu dan bersengkokol dengan negara lain dalam mengendalikan penyiasatan kematian warganya, Kim Chol yang kemudiannya dikenali sebagai Kim Jong-nam, pada 13 Februari lalu untuk memburuk-burukkan Korea Utara.

Tambah Anifah, mengikut artikel 9 Konvensyen Vienna Mengenai Hubungan Diplomatik (1961), negara penerima boleh, pada bila-bila masa dan tanpa memberi sebarang alasan, mengisytiharkan duta besar atau ketua perwakilan atau pegawai diplomatik sebagai Persona Non Grata.

“Dalam hal sedemikian, negara penghantar akan memanggil pulang inidividu berkenaan ataupun menamatkan fungsi beliau di kedutaan atau perwakilan.

“Jika negara penghantar tidak mahu berbuat demikian, maka negara penerima boleh menamatkan pengiktirafan terhadap individu tersebut sebagai ahli kedutaan atau perwakilan,” jelas beliau.

Tambah beliau, Malaysia akan mengambil tindakan keras terhadap apa sahaja penghinaan atau pun usaha untuk memburukkan nama negara. – MalaysiaGazette