Mohd Hashim Abdullah.

KUALA TERENGGANU – Persepsi negatif sesetengah pihak terhadap ketelusan dan integriti Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menjelang pilihan raya umum ke-14 (PRU-14) menjadikan suruhanjaya itu lebih berhati-hati.

Pengerusi SPR, Datuk Seri Mohd. Hashim Abdullah berkata, pada dasarnya, setiap pilihan raya umum itu mempunyai cabaran yang hampir sama cuma ia bergantung kepada faktor luaran seperti isu politik yang sangat sensitif di negara ini.

“Tugas kami di SPR adalah untuk mengemas kini daftar pemilih dan hal lain yang berkaitan pilihan raya di mana kemuncaknya adalah selepas SPR menerima notis pengisytiharan pembubaran dewan rakyat atau dewan negeri.

“Setelah notis diterima, barulah kami akan bermesyuarat untuk menentukan tarikh penamaan calon, tarikh mengundi awal dan sehingga keputusan diketahui tanpa cenderung kepada mana-mana parti politik,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis perjumpaan bersama usahawan muda Terengganu di sini hari ini yang turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Pembangunan Usahawan, Dr Tengku Khairi A Rahman.

Mengulas lanjut, Mohd. Hashim berkata, kekerapan SPR turun padang sejak akhir-akhir ini juga bukanlah petunjuk kononnya PRU-14 akan diadakan dalam masa terdekat.

Sebenarnya, SPR sentiasa menjalankan daftar pemilih sebelum ini, namun ia diperhebatkan dengan menjalin kerjasama strategik bersama banyak pihak agar suruhanjaya itu dapat turun padang untuk memberi penerangan kepada orang ramai kepentingan mereka menunaikan tanggungjawab sebagai rakyat dengan mengundi pada PRU14 nanti, katanya.

“Ada tuduhan dan tohmahan yang dilemparkan pihak tidak bertanggungjawab kononnya gerak kerja sebegini membuktikan SPR sudah bersedia untuk menguruskan PRU14…itu tidak benar, kami sendiri tidak tahu bila tarikh pilihan raya hanya bersedia sepenuhnya kerana ia boleh berlaku bila-bila masa,” katanya.

“Sekiranya SPR tidak telus dan cenderung kepada parti tertentu (Barisan Nasional) bagaimana negeri-negeri tertentu boleh diperintah orang tertentu, oleh parti-parti tentu yang kebanyakannya adalah negeri kaya,” soalnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast