Sebuah helikopter terhempas di Istanbul selepas merempuh menara pemancar televisyen di Istanbul.

ISTANBUL – Seramai lima orang terbunuh apabila sebuah helikopter terlanggar menara pemancar televisyen dalam kabus tebal di Istanbul.

Dua orang juruterbang, empat warga asing dan seorang rakyat tempatan dilaporkan berada dalam pesawat itu, lapor RT.

Agensi berita Turki, Dogan melaporkan empat warga Rusia berada dalam helikopter tersebut.

Gambar yang diambil di tempat kejadian menunjukkan serpihan pesawat terbakar bertaburan di atas jalan di Buyukcekmece, pinggir Istanbul.

Datuk Bandar Buyukcekmece, Hasan Akgun memberitahu rangkaian televisyen swasta, NTV bahawa beliau melihat lima mayat di tempat kejadian.

“Ia melanggar menara itu, berpusing-pusing dan terhempas,” kata seorang saksi kepada AFP yang mendakwa helikopter itu merempuh sebuah menara sebelum terhempas di lebuh raya.

Helikopter jenis Sikorsky S-76 itu dilaporkan terhempas selepas berlepas dari Lapangan Terbang Ataturk. Bagaimanapun destinasinya tidak diketahui.