Tuan Ibrahim Tuan Man

KUALA LUMPUR – Pas menyarankan kerajaan menggunakan China sebagai pihak ketiga sebagai usaha meredakan ketegangan diplomatik  Malaysia dengan Korea Utara ketika ini.

Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, memandangkan ekonomi Korea Utara bergantung pada China, maka negara itu merupakan pilihan terbaik untuk djadikan perantara bagi membebaskan baki rakyat Malaysia yang masih ditahan di negara itu.

“Hubungan baik Malaysia dengan China susulan lawatan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak perlu dimanfaatkan sepenuhnya waktu ini, sementara penyiasatan polis terhadap kematian Kim Jong-nam dapat diteruskan dan diselesaikan mengikut undang-undang negara.

“Insya Allah, pendekatan diplomasi ini akan membawa kepada penyelesaian yang aman,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut Tuan Ibrahim, krisis yang tercetus ekoran kematian abang tiri pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un pada 13 Februari lalu bukan berpunca daripada Malaysia.

“Oleh itu, ketegasan kerajaan terhadap provokasi dari kerajaan Korea Utara demi mempertahankan kedaulatan negara dan mengutamakan soal keselamatan rakyat adalah satu tindakan yang tepat,” katanya.

Oleh yang demikian, Tuan Ibrahim menyeru rakyat Malaysia bersatu dalam mempertahankan kedaulatan negara menghadapi kebiadapan Korea Utara.

“Marilah kita bersama-sama memberi keprihatinan kepada ahli-ahli keluarga mangsa yang dijadikan tebusan dan memberi sokongan untuk menyelesaikan kemelut ini.

“Sikap tidak hormat kepada negara lain dan bertindak di luar peraturan antarabangsa oleh Korea Utara bukanlah perkara baru,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast