HULU BERNAM – Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan menasihatkan orang ramai agar tidak terpengaruh dengan hasutan pembangkang terutama berkaitan penawaran pembelian rumah Projek Perumahan Rakyat (PPR) oleh Kerajaan Persekutuan.
Menterinya, Tan Sri Noh Omar berkata, beliau secara peribadi bersimpati dengan nasib 35 penduduk di Kampung Kerinchi yang terlepas peluang daripada memiliki rumah Residensi Kerinchi yang dirasmikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak minggu lalu.
Kata beliau, kumpulan itu tidak tersenarai dalam pemilikan rumah PPR kerana mereka terpedaya dengan hasutan pembangkang, kononnya projek Residensi Kerinchi itu sebagai janji kosong kerajaan Barisan Nasional (BN).
“Sekarang apabila rakan mereka memiliki rumah idaman yang dijanjikan Kerajaan Persekutuan, kumpulan ini hanya mampu menggigit jari.
“Sebab itu, saya selalu ingatkan dan nasihatkan kepada rakyat, jangan sekali-kali percaya dakyah pembangkang. Mereka ini terkenal sebagai penghasut.
“Saya saya nak ingatkan jangan terjadi kepada 35 penduduk di Kerinchi ini, kerana terdengar hasutan pembangkanglah, mereka tidak dapat rumah. Orang lain semua dapat miliki rumah, mereka tak dapat apa-apa,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis penyerahan kunci rumah PPR Taman Danau, Hulu Bernam, semalam.
Menurut Noh, beliau difahamkan di Taman Danau juga ada empat penduduk yang tidak tersenarai namanya untuk memiliki rumah PPR itu kerana terdengar hasutan pembangkang.
“Hari ini pun ada empat orang yang terpedaya hasutan pembangkang dan mereka akhirnya membuat rayuan untuk mendapatkan rumah ini. Kita akan cari jalan untuk memastikan mereka mendapat rumah PPR di bawah Skim Rent To Own,” ujar beliau.
Mengenai skim itu, Noh berkata, setiap penduduk diberi tempoh percubaan selama dua tahun seperti mempunyai rekod baik dari segi bayaran sewa sebanyak RM250 sebulan, tidak diberi sewa kepada pihak ketiga dan tidak menjadikannya sebagai rumah tumpangan.
Kata beliau, jika rekod mereka baik, pihaknya akan meneruskan perjanjian sambung bayar selama 18 tahun lagi.
“Cukup 20 tahun bayar sewa, rumah itu akan jadi milik mereka sepenuhnya.
“Rumah ini berharga RM140,000 satu unit. Dalam tempoh 20 tahun mereka hanya bayar RM60,000 dan selebihnya iaitu RM80,000 lagi adalah subsidi dari kerajaan,” katanya. – MalaysiaGazette