MUMBAI – Doktor-doktor di India yang menjalankan pembedahan terhadap wanita terberat di dunia, Eman Ahmed Abd. El Aty membuktikan prosedur digunakan berjaya dilakukan selepas wanita berkenaan berjaya mengurangkan berat badannya melebihi 100 kilogram.
Eman yang berasal dari Mesir sebelum itu memiliki berat badan sebanyak 500kg tidak pernah meninggalkan rumahnya sejak dua dekad lalu sehinggalah tiba di Mumbai bulan lepas untuk menjalani pembedahan bariatik.
Pembedahan bariatik adalah satu prosedur pintasan untuk mengecilkan perut yang dilakukan kepada individu yang mahu mengurangkan berat badan.
“Kami gembira memaklumkan yang pasukan perubatan Hospital Saifee telah berjaya menjalankan pembedahan kepada Eman Ahmed,” kata satu kenyataan seperti yang dilaporkan AFP.
Katanya, Eman telah berjaya menjalani pembedahan laparoscopic sleeve gastrectomy pada 7 Mac 2017 di Hospital Saifee dan kini sedang mendapat rawatan susulan di hospital berkenaan.
“Dia kini diberikan makanan cecair dan menerimanya dengan baik. Langkah seterusnya yang akan diambil oleh pasukan perubatan adalah untuk membetulkan semua masalah berkaitan kesihatannya serta memastikan kecergasan beliau sebelum pulang ke Mesir secepat mungkin,” tambah kenyataan itu lagi.
Seorang jurucakap, Dr. Muffazal Lakdawala yang mengetuai misi tersebut berkata, berat wanita berusia 37 tahun itu telah diturunkan ke bawah 400 kg sejak dia tiba di Mumbai awal Februari lalu.
“Eman telah berjaya mengurangkan berat badannya melebihi 100kg dan ia berterusan secara sedikit demi sedikit setiap hari dengan menjalani kesemua rawatan dan sokongan,” katanya kepada AFP.
Eman yang berasal dari Alexandria terbang ke India menggunakan pesawat Airbuas yang telah diubahsuai khusus untuknya pada 11 Februari lalu untuk mendapatkan rawatan.
Kakaknya telah menghubungi Dr. Lakdawala, seorang pakar bedah dalam pengurangan berat badan pada Oktober tahun lalu dengan mengatakan Eman perlukan rawatan segera.
Menurut keluarganya, semasa kecil, Eman pernah disahkan menghidap penyakit elephantiasis (sakit gajah) yang mana tangan dan kakinya serta beberapa anggota badan lain membengkak sehingga menyebabkan dia tidak boleh bergerak.
Eman juga pernah diserang strok serta beberapa penyakit serius lain disebabkan berat badan berlebihan termasuk kencing manis, tekanan darah tinggi, hipertensi dan masalah tidur.
Permintaannya untuk mendapatkan visa India pada asalnya ditolak.
Bagaimanapun dia berjaya mendapatkan laluan apabila membuat rayuan di dalam twitter terus kepada Menteri Luar India yang akhirnya turut masuk campur.
Dia juga terpaksa menanti lama untuk terbang ke India kerana tiada syarikat penerbangan yang mahu mengambil risiko disebabkan masalah kesihatannya.
Pasukan Lakdawala meletakkan Eman di bawah rejim diet khas cecair apabila dia tiba di India untuk memastikan beratnya turun ke paras mencukupi untuk mereka melakukan pembedahan.
Menurutnya, dia kini sudah boleh duduk dan dijangka menghabiskan beberapa bulan untuk dipantau dan menerima rawatan fisioterapi serta melakukan senaman untuk menguatkan otot sebelum pulang ke Mesir.- MalaysiaGazette