PUTRAJAYA – Syarikat minyak Saudi Aramco tidak pernah membatalkan hasratnya untuk bekerjasama dengan Petroliam Nasional Berhad dalam Projek Pembangunan Bersepadu Penapisan Minyak dan Petrokimia (RAPID) di Pengerang, Johor seperti yang didakwa sebelum ini.
Sebaliknya, Pengarah Komunikasi Kementerian Kewangan, Datuk Lokman Noor Adam berkata, spekulasi yang dibesar-besarkan pada awal tahun ini adalah propaganda pembangkang semata-mata.
“Pembangkang pernah cuba mensabotaj projek RAPID hingga menyebabkan pelabur Taiwan menarik diri daripada melabur sebanyak RM40 bilion.
“Ia sedikit sebanyak mengoyahkan Aramco tetapi Datuk Seri Rahman Dahlan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri telah berjaya meyakinkan Aramco,” katanya kepada MalaysiaGazette di sini baru-baru ini.
Pada Januari lalu, Wall Street Journal menyebut Saudi Aramco menarik diri daripada RAPID selepas melaksanakan kajian kebolehlaksanaan, kononnya tidak menjana pulangan yang baik.
Ternyata spekulasi itu meleset apabila Saudi Aramco dan Petronas memeterai perjanjian untuk melabur dalam RAPID sebanyak AS$7 bilion (RM31 bilion) pada 28 Februari lalu, semasa kunjungan Raja Arab Saudi, Raja Salman Abdulaziz Al-Saud.
Lokman berkata, projek RAPID penting ke Malaysia dalam usaha kerajaan untuk mengurangkan kos harga minyak.
Katanya, selama ini minyak yang digunakan di Malaysia ditapis di Singapura dan kebergantungan tersebut tidak boleh selama-lamanya terutama jika harga minyak mentah global melonjak.
Lokman Noor Adam
“Sekarang ini pun harga minyak mentah sudah cecah AS$60. Kita jangan tengok harga minyak mentah sebab kita pakai minyak bertapis, bukan minyak mentah.
“Kita guna minyak bertapis dari Singapura dengan pengiraan MOP (Means of Platts). Sebab itu kerajaan, kalau hendak kurangkan harga minyak bertapis, tak boleh bergantung harap kepada Singapura untuk tapis minyak mentah.
“Itu kita kena mempercepatkan pelabur untuk melabur dalam RAPID. Kita bawa masuk Aramco untuk bersama Petronas. Bila kita ada loji penapisan sendiri, kos rendah, kita boleh jual lebih murah minyak kepada rakyat,” katanya lagi.
Lokman berkata, kerajaan sebenarnya bukan hendak bergantung kepada pelabur asing dalam projek RAPID jika ada pelabur tempatan yang berupaya bersama-sama membangunkan projek ini.
“Kalau ada rakyat Malaysia yang banyak duit, tidak tahu hendak melabur di mana, mari melabur di Malaysia dahulu, silakan.
“Kerajaan sentiasa mengutamakan pelabur tempatan untuk melaksanakan projek berimpak tinggi, namun jika modal pelabur kita kurang besar, kita kena menerima pelaburan asing yang akan turut merangsang ekonomi tempatan.
“Malangnya ada pelabur tempatan yang mempunyai dana besar, mereka ini cenderung melabur di luar,” katanya. – MalaysiaGazette