Mohamed Hanipa Maidin
Mohamed Hanipa Maidin

KUALA LUMPUR – Biro Undang-undang Parti Amanah Negara (Kanun) bersedia menawar khidmat peguam syarie jika isu perjanjian untuk memberi ketaatan (Baiah) dibawa ke mahkamah syariah.

Pengerusinya Mohamed Hanipa Maidin berkata, beliau seronok kerana percaya jika syariah benar-benar dilaksanakan di mahkamah syariah, banyak kekeliruan berkaitan `baiah’ dapat diselesaikan.

“Saya terbaca laporan di dalam Malaysiakini dan Malaysia Dateline yang menerbitkan berita adanya usul yang cuba dibawa oleh sebuah cawangan Pas di Kelantan yang mahukan kononnya pelanggar baiah Pas dibawa ke Mahkamah Syariah.

“Saya ingin tegaskan bahawa jika pembawa usul itu atau sesiapa juga di belakang usul itu cuba berfikir yang pemimpin Amanah gentar dan bimbang dengan usul itu, mereka tersilap besar.

“Jika usul sebegitu digeruni atau ditakuti, maka sejak awal lagi parti Amanah tidak akan ditubuhkan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Menurut Hanipa, PAN sememangnya mengalu-alukan jika pembawa usul atau Pas bersungguh mahu membawa usul berkenaan ke mahkamah syariah dan berharap agar dapat bertemu mereka di sana.

Katanya, memandangkan isu baiah yang sedang tidur dikejutkan semula secara tiba tiba maka beliau berharap pembawa usul itu dan Pas perlu bersedia untuk membawa isu ‘seludup’ baiah dari pintu belakang dalam kes di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sri Damansara juga ke mahkamah syariah.

“Bukankah kerana “smuggle” (seludup) tersebut , ianya berakhir dengan Pas rela memenangkan calon BN (Barisan Nasional) di DUN tersebut?,” ujarnya.

Isu baiah menjadi topik hangat apabila ada dalam kalangan pemimpin Pas sebelum ini mengguna pakai perkataan itu hingga menimbulkan polemik.

Ia menjadi panas selepas dakwaan Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yaakob bahawa Ahli Parlimen Kuala Krai, Dr Hatta Ramli secara automatik telah bercerai talak tiga dengan isterinya.

Ia didakwa berlaku ekoran beliau meninggalkan Pas dan menyertai PAN dan perkara itu kemudian telah dinafikan oleh Hatta.

Baiah itu melibatkan semua wakil rakyat Pas di Kelantan yang perlu bertaklik dengan melafazkan cerai talak tiga terhadap isteri masing-masing.

Hal demikian mengundang pelbagai pandangan termasuk menggesa mereka merujuk kepada mahkamah syariah. – MalaysiaGazette