KUALA LUMPUR – Timbalan Presiden Pas Tuan Ibrahim Tuan Man menafikan sudah bersetuju berunding berhubung pengagihan kerusi dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) seperti didakwa berlaku pada 2 Februari lalu.
Kenyataan itu menangkis dakwaan pimpinan PPBM yang mengatakan parti Islam itu sudah bersetuju berunding berhubung isu kerusi, malah Tuan Ibrahim berkata tidak timbul perbincangan tentang perkara itu memandangkan masih tidak diketahui bila pilihan raya akan diadakan.
“Rundingan kerusi belum lagi. Cumanya, jawatankuasa teknikal akan adakan perbincangan untuk tengok macam mana.
“Kita akan tengok, lagipun pilihan raya belum tahu bila lagi,” katanya semasa majlis makan malam dan dialog politik semalam di Setiawangsa.
Terdahulu, Setiausaha Agung PPBM, Datuk Dr. Shahruddin Md. Salleh berkata keputusan pengagihan kerusi dicapai dicapai dalam mesyuarat Jawatankuasa Bersama yang berlangsung 2 Februari lalu.
Menurut Shahrudin, dalam mesyuarat tersebut PPBM dan Pas telah bersetuju mengadakan perbincangan susulan mengenainya.
Katanya, PPBM turut mengambil maklum mengenai keputusan Jawatankuasa Kerja Pas Pusat pada 17 Februari 2017 bahawa parti itu bersedia untuk meneruskan rundingan dengan PPBM. – MalaysiaGazette